PAS Tidak Tamak Tentukan Calon Perdana Menteri – Sallehin

Shah Alam – PAS tidak akan sesekali menunjukkan sikap tamak dalam menentukan calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat (PR) menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehin Mukhyi berkata demikian mengulas gesaan DAP agar parti komponen gagasan itu menyokong Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon jawatan tersebut.

“Saya yakin bahawa PAS bukan nak sangat menjadi PM, sebagaimana kita ambil semangat di Selangor.

“Walaupun Tuanku Sultan Selangor mengatakan boleh sahaja melantik MB dari PAS, tetapi kita tidak akan terkinja-kinja menjadi MB dalam konteks kita sedar kita berada di dalam PR, walaupun wujud kenyataan sinis dilemparkan kepada PAS Selangor,” katanya ketika ditemubual secara khas bersama Antarapos.

DAP, menerusi setiausaha agungnya Lim Guan Eng mengulangi pendirian parti itu menyokong Anwar sebagai perdana menteri jika pembangkang menang pada pilihan raya umum yang dijangka diadakan pada 2018.

Ini bukan kali pertama DAP menolak calon lain selain PKR.

Pernah Lim menyatakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak sesuai memegang jawatan nombor satu negara itu kerana bertentangan dengan persetujuan PR.

“Hal itu bergantung kepada konsensus bersama di dalam PR. Soal siapa menjadi PM itu tidak penting, walaupun kita boleh menerima Anwar sebagai calon PM. Yang penting sekarang adalah soal apa yang mengikat PR mesti diterjemahkan dan dilaksanakan,” ujar Sallehin lagi.

Selain Lim, turut menyokong Anwar sebagai perdana menteri adalah Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Meskipun tidak pernah secara terang-terangan menolak cadangan mencalonkan Anwar, PAS menggesa agar perbincangan diadakan terlebih dahulu sebelum keputusan dimuktamadkan.  – AntaraPos

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.