Lubang Besar, Laluan Terputus Di Kemaman

Jalan Air Putih di Kampung Seberang Tayor di Kemaman ditutup sejak 12 tengah malam semalam kepada semua kenderaan apabila jalan tersebut terputus dua, menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Kemaman.

Jurutera Daerah JKR Kemaman, Ir Hasmi Ahmad berkata jalan tersebut terputus akibat air banjir yang terperangkap dalam satu lubang besar berkedalaman 100 meter yang terbentuk di lombong bijih besi Machang Setahun tidak sampai 10 meter dari jalan itu.

“Air yang memenuhi lubang besar tersebut menyebabkan berlaku tekanan tinggi dan akhirnya tebing jalan itu mula terhakis sebelum jalan terputus dua,” katanya ketika ditemui pemberita.

Hasmi berkata pihaknya akan memasang jambatan mudah alih pasang siap iaitu Jambatan Bailey di laluan itu sebagai jambatan sementara untuk kemudahan penduduk sebaik sahaja air surut.

“Kita juga telah memgambil tindakan segera dengan memasang ‘barricade’ (alat penghalang) serta papan tanda amaran di laluan berkenaan,” katanya.

Hasmi berkata, berikutan laluan itu terputus, penduduk kampung sekitar perlu menggunakan Jalan Mak Lagam dan Jalan Padang Kubu untuk ke bandar Cukai.

Jalan yang terputus itu merupakan jalan utama untuk ke bandar Cukai bagi penduduk di beberapa kampung seperti Kampung Seberang Tayor, Kampung Felda Seberang Tayor, Kampung Batu 14, Kampung Dadong, Kampung Tebak, Kampung Air Putih dan Kampung Teladas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.