Isu Hudud : Ahli Majlis Syura Ulama Cabar Guan Eng Berdialog

Kuala Lumpur – Ahli Majlis Syura Ulama PAS Zaharudin Muhammad hari ini mencabar Lim Guan Eng berdialog dengannya berhubung isu hudud, merujuk kenyataan setiausaha agung DAP itu yang meminta Pakatan Rakyat (PR) memberi jaminan hudud tidak akan dilaksanakan sekiranya ia mengambil alih pemerintahan negara.

Zaharudin yang juga menantu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, dialog itu bagi memberi peluang kepada Lim menerangkan kenapa beliau menolak hudud dan kepada PAS menjelaskan keadilan sistem Islam kepada rakyat.

“PAS membawa politik Islam, politik damai dan politik dialog. Maka dengan sebab itu saya menyeru YAB (Yang Amat Berhormat) berdialog di depan masyarakat khususnya bukan Islam.

“Saya tidak kisah jika dalam dialog nanti YAB dengan jelas dan lantang menyatakan tidak bersetuju dengan alternatif yang PAS bawa, tetapi yang saya dan rakyat perlukan ialah fakta di sebalik penolakan lantang YAB,” katanya dalam satu surat terbuka kepada Lim hari ini.

Surat itu, bertajuk “Cabaran dialog dengan Lim Guan Eng” diletakkan di status Facebooknya petang semalam.

Berucap pada Persidangan Nasional DAP 2014 di Subang Jaya, Ahad lalu, Lim berkata, pendirian tidak melaksanakan hudud perlu jelas dinyatakan dalam usaha menunjukkan pembangkang mempunyai suara sama.

“Pakatan perlu buktikan kita boleh mentadbir lebih baik. Ini dapat dilakukan dengan dasar yang jelas.

“Perlu ada pendirian tegas, kerajaan PR di Putrajaya tidak akan melaksanakan undang-undang hudud. Itu mesti jelas sama sekali,” kata ahli Parlimen Bagan itu.

Zaharudin berkata beliau menulis surat itu atas kapasiti peribadi sebagai seorang Islam dan rakyat Malaysia yang faham dan yakin tentang keselamatan rakyat semakin terhimpit, jenayah menjadi-jadi serta kewujudan unsur rasuah dalam pengurusan ekonomi negara.

Katanya, PAS menegakkan Islam melalui kerangka demokrasi dan menawarkan sistem Islam yang adil sebagai alternatif kepada sistem sedia ada sekarang.

“Dengan kata lain, PAS berusaha menjelaskan keadilan sistem Islam kepada rakyat, kemudian terpulang kepada mereka untuk memilih atau menolak dasar PAS.

“Bila rakyat sokong dengan memberikan undi dan kemenangan kepada PAS sebagaimana berlaku di Kelantan, bermakna PAS berhak melaksanakan apa yang termampu sebagaimana yang dijanjikan kepada rakyat.

“Dengan kerangka demokrasi, sepatutnya semua parti dalam PR bebas bercakap tentang dasar perjuangan masing-masing dan ini juga dipersetujui dalam deklarasi ringkas pada 5 Mei 2013,” katanya.

Beliau berkata, DAP tidak sepatutnya meminta PAS membuat pengisytiharan untuk tidak melaksanakan Islam sekiranya PR memenangi pilihan raya umum akan datang, sebagaimana PAS juga tidak boleh memaksa DAP untuk mengisytiharkan menerima pelaksanaan Islam.

“Apa yang penting ialah kita bersatu menentang BN (Barisan Nasional). Selepas menang kita melihat siapa yang majoriti sewaktu kemenangan.

“Jika PAS majoriti, maka Islam akan dilaksanakan demi kebaikan semua. Jika DAP majoriti, maka terpulang kepada DAP. Itu namanya demokrasi,” katanya.

Zaharudin berkata, keadaan itu sudah pun berlaku secara tidak langsung di Pulau Pinang di mana urusan pentadbiran diserahkan sepenuhnya kepada DAP dan di Kelantan, mengikut cara PAS. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.