Gelaran ‘Profesor Kangkung’ Satu Penghinaan

Shah Alam – Ketua Kluster Politik Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Mustafa Ishak berkata gelaran ‘Profesor Kangkung’ yang ditujukan Azmin Ali kepadanya adalah satu penghinaan.

Ujarnya Azmin sebagai Menteri Besar Selangor tidak perlu angkuh dan perlu lebih profesional dalam menjawab soalan-soalan pemberita.

“Dia (Azmin) sepatutnya lebih menghormati orang lain dan mesti profesional dalam menjawab (persoalan yang timbul/pertanyaan) sebab sebagai Menteri Besar dia (Azmin) perlu menjawab secara profesional.

“Pada saya kenyataan dia itu kenyataan yang angkuh, dia tidak boleh terima kritikan baru 100 hari tak sampai jadi MB dah tunjuk keangkuhan,” tegasnya.

Mustafa berkata Azmin bukan sahaja menghinanya malah turut merendahkan sayur kangkung yang menjadi makanan rakyat bawahan.

“Itu satu penghinaan kepada sayalah tapi jangan hina kangkung sebab kangkung ini makanan rakyat biasa, orang kampung, orang luar bandar. Jadi, jangan nak menghina sangat dan semua yang tak elok dipanggil kangkung.

“Hina sangat ke kangkung ini? Ini adalah makanan yang penuh khasiat, yang orang luar bandar hargainya dan mampu memilikinya. Jadi, lebih baik profesor yang menginsafi masyarakat bawahan dan luar bandar daripada seorang pemimpin yang angkuh dan tidak merasai denyut nadi rakyat,” ujarnya lagi.

Azmin pada Khamis dilaporkan sebagai menyifatkan Mustafa sebagai ‘Profesor Kangkung’ apabila berpandangan bahawa Timbalan Presiden PKR itu masih dibayangi Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengatur urus Selangor, menjelang 100 harinya sebagai menteri besar negeri berkenaan.

Mustafa menambah, beliau sebagai ahli akademik hanya menjalankan tugasnya menganalisis dan memberikan buah fikiran apabila diminta mana-mana pemberita.

Malah katanya, segala pandangannya adalah berpaksikan hasil pemerhatiannya ke atas prestasi Azmin, dan bukannya dibuat secara membuta tuli.

“Sebagai penganalisis politik kita beri komen kita bila di tanya wartawan dan tak akan saya nak diam pula bila ditanya? Jadi, saya bagilah pandangan saya…

“Kalau tak setuju cakaplah tak setuju. Tak perlulah dia memperlekehkan orang. Tapi itulah cara politik pemimpin pembangkang, bila dia tak setuju dengan pandangan orang lain dia perlekehkan orang itu,” jelasnya.

Mustafa terdahulu diminta mengulas prestasi Azmin dan sikap ADUN Bukit Antarabangsa itu yang kerap kali enggan menjawab soalan pemberita dalam majlis-majlis rasmi yang dihadirinya, minggu lalu.

Bagaimanapun Azmin menafikan perkara itu dan meminta media berlaku adil padanya.

“Kamu kejar saya dari situ sampai ke sini. Sejak bila saya ada jawab ‘no komen’, berapa banyak komen yang saya bagi tadi.

“Awak hubungi kembali profesor kangkung itu dan beri penjelasan pada dia,” kata beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.