Exco Selangor PAS Kata Selangor Belum Sedia Laksana Hudud

Shah Alam – Selangor belum bersedia mengikut jejak Kelantan untuk melaksanakan hudud, kata Exco Selangor dari PAS, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Ujarnya perundangan Islam itu perlu diterangkan terlebih dahulu hingga ianya difahami setiap komposisi kaum dan lapisan masyarakat sebelum dilaksanakan di Selangor.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi itu juga berkata, berbeza dengan Kelantan, pelaksanaan hudud di Selangor memerlukan perancangan terperinci dari pelbagai aspek sebelum boleh dipraktikkan.

“Di Selangor, saya kira kita masih lagi belum bersedia kerana yang penting untuk melaksanakannya ialah memahami sepenuhnya berhubung perkara ini.

“Pendidikan kepada masyarakat bukan sahaja kepada orang bukan Islam tetapi orang Islam itu sendiri. Mereka perlu faham kenapa kita (PAS) hendak bawa syariat Islam ini,” katanya yang juga Bendahari PAS Selangor sebagaimana dilaporkan lidah rasmi kerajaan negeri, Selangorkini.

Kerajaan negeri Kelantan yang dipimpin PAS akan mengadakan sidang khas DUN pada 29 Disember ini untuk meminda Kanun Jenayah Syariah II bagi membolehkan sebahagian hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.

Ia dibuat selepas Jawatankuasa Teknikal yang dibentuk di peringkat negeri dan Persekutuan sudah lapan kali bermesyuarat, lima di peringkat negeri dan tiga di peringkat pusat.

Cadangan Kelantan ini sekali lagi menimbulkan konflik dalam Pakatan Rakyat di mana DAP menentangnya manakala Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap cadangan ini ‘bermasalah’.

Bagi DAP, hudud akan menghalang PR untuk ke Putrajaya. Namun Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah menjawab, tanpa hudud pada Pilihan Raya ke-13 (PRU13), ia juga tidak membawa Pakatan ke Putrajaya.

Dalam pada itu, Dr Ahmad yakin tidak berbangkit soal PR berpecah ekoran isu hudud ini.

“Saya tidak nampak begitu (pecah), ia tidak selari dalam beberapa isu sahaja tetapi kena lihat persamaaan antara parti itu dan banyak benda-benda yang boleh dibincangkan untuk kefahaman,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.