DBKL Akan Gempur Peniaga Asing Di Jalan Petaling

Kuala Lumpur – Pasukan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menggempur gerai haram yang diusahakan pendatang asing di Jalan Petaling, serta mengambil tindakan ke atas peniaga tempatan yang menjual atau menyewakan gerai mereka.

“Mereka dengan senangnya sewa kepada peniaga asing, contohnya sewa kepada warga Bangladesh dengan harga RM5,000 hingga RM8,000.

“Saya difahamkan, daripada kajian sulit kita yang dibuat melalui kamera poket (tersembunyi), memang lebih daripada 100 unit gerai telah pun disewa dan dikendalikan (warga) Bangladesh dan Nepal.

“Maka, kami akan ambil tindakan secepat mungkin,” kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib kepada pemberita, hari ini.

Ahmad Phesal berkata demikian, susulan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada awal bulan ini, bahawa sikap tamak pemilik lesen perniagaan yang bertindak memajak, menyewa atau menjual premis masing-masing kepada peniaga warga asing, menyebabkan warga tempatan tidak dapat berniaga di sana.

Tengku Adnan dilaporkan sebagai berkata, beliau sedih kerana ada anak muda Cina yang dilaporkan ingin berniaga, tetapi terpaksa menggigit jari, kerana kadar sewa terlalu tinggi dan pemilik lesen lebih suka menyewakan kepada warga asing.

Beliau juga mendakwa, peniaga haram di Jalan Petaling cekap menyembunyikan diri serta barang berjenama tiruan di kawasan tumpuan pelancong itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Phesal mengesahkan, DBKL bercadang menyediakan sebuah kawasan baru untuk penjaja di Jalan Sultan, khusus buat penjaja muda tempatan berusia di bawah 40 tahun.

“Demi memberi peluang kepada peniaga muda Cina, Melayu dan India untuk berniaga, kita ada cadangan ini,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Phesal berkata, projek berkenaan masih di peringkat cadangan dan pihaknya perlu mengenal pasti kawasan di Jalan Sultan yang terlibat.

Menurutnya, Jalan Sultan dipilih, kerana ia berdekatan kawasan tumpuan masyarakat Cina.

Mengenai kemungkinan berlaku masalah kesesakan lalu lintas di kawasan itu, jelasnya, semua masalah itu bakal dibincangkan dan dikaji.

Selain itu, DBKL juga akan mewujudkan 115 gerai barangan lusuh (bundle) di Lorong Petaling.

Kawasan itu popular dengan jolokan ‘Pasar Karat’ yang menjadi tempat tumpuan penjual barangan terpakai.

“Saya sudah minta naik taraf kawasan itu (Lorong Petaling) dan kami akan cari pihak untuk melukis dinding (mural) di sana, bagi menjadikan kawasan itu tarikan pelancong,” katanya selepas pertemuan dengan sembilan ahli parlimen Pakatan Rakyat di Menara 1 DBKL, pada Jumaat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.