200 Penduduk Tandatangani Petisyen, Usir Kanak-Kanak HIV Positif

Beijing – Lebih 200 penduduk sebuah kampung di wilayah Sichuan, barat daya China menandatangani petisyen untuk mengusir seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang positif HIV.

Global Times melaporkan, penjaga kanak-kanak malang itu yang juga datuknya, adalah antara penduduk kampung yang menandatangani petisyen berkenaan, demi “melindungi kesihatan penduduk.”

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, Kunkun, nama samaran untuk kanak-kanak malang itu, dibuang dari sekolah dan dipulaukan masyarakat, selepas dia dikesan menghidap AIDS, ketika dirawat untuk kecederaan ringan pada 2011.

Virus HIV itu dijangkiti daripada ibunya.

Ibu Kunkun meninggalkan keluarganya pada 2006, manakala bapa kanak-kanak itu “hilang hubungan” dengan keluarganya, selepas Kunkun disahkan menghidap AIDS.

Menurut petisyen itu, penyakit Kunkun telah menimbulkan kebimbangan di kalangan penduduk kampung, dan untuk memastikan keselamatan penduduk kampung dan kanak-kanak lain, mereka meminta pihak berkuasa mengkuarantin Kunkun untuk rawatan.

“Tiada orang bermain (dengan saya), saya bermain sendirian,” kata Kunkun yang dipetik People’s Daily.

Kunkun turut disifatkan sebagai “bom jangka” dalam petisyen itu.

“Penduduk kampung bersimpati dengannya, dia tidak berdosa dan hanya seorang kanak-kanak. Tetapi, dia dijangkiti HIV dan kami terlalu takut AIDS,” kata Wang Yishu, Setiausaha Kampung Shufangya.

Pihak berkuasa menghantar sepasukan pegawai ke kampung itu untuk mendidik mereka mengenai virus HIV dan AIDS, serta memujuk penduduk kampung supaya tidak mendiskriminasi kanak-kanak malang itu.

Kes ini hangat dibincangkan di Weibo sejak semalam, dengan ramai yang hairan kenapa manusia boleh bersikap dingin terhadap kanak-kanak malang itu.

Pesakit HIV/AIDS di China meningkat kepada 810,000 orang dan telah meragut 136,000 nyawa, pada akhir tahun lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.