Kadar cukai Taksiran DBKL Dikurangkan Kepada 4 Peratus

KUALA LUMPUR 19 Dis. – Menteri Wilayah Persekutuan hari ini mengumumkan kadar cukai taksiran yang dikenakan kepada lebih 500,000 pemegang hartanah di ibu negara akan dikurangkan.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, menerusi kadar baharu yang akan dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun depan itu, cukai enam peratus yang dikenakan kepada rumah kediaman ketika ini akan dikurangkan kepada empat peratus.

Menurutnya, pemilik hartanah komersial atau perdagangan pula hanya perlu membayar sepuluh peratus daripada nilai tahunan hartanah semasa, berbanding 12 peratus sebelum ini.

“Keputusan yang saya buat ini diharapkan dapat memberi kelegaan kepada warga kota yang ketika ini gusar dengan keputusan kami untuk menyemak semula nilai tahunan melalui notis yang diedarkan sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Tengku Adnan turut mengumumkan insentif kepada pemilik rumah yang terdiri daripada golongan orang kurang upaya, pesara dan pemilik yang tidak menyewakan kediaman mereka kepada orang lain. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.