Waytha Moorthy Memfitnah, Armada Gesa Minta Maaf 24 Jam!

KUALA LUMPUR – Sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Armada hari ini mendesak Menteri Di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy membuat permohonan maaf secara terbuka dalam masa 24 jam kepada seluruh rakyat negara ini.

Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa dan Tugas-Tugas Khas Armada, Mohd Muzzammil Ismail menyifatkan kenyataan senator itu dalam video tujuh tahun lalu yang kembali tular sejak semalam berbaur fitnah dan tidak menggambarkan seorang menteri yang memegang portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.

“Biro Perhubungan Antarabangsa Armada memandang berat kenyataan P. Waytha Moorthy ketika beliau menghadiri seminar Eropah tujuh tahun lalu.

“Susulan video temubual berdurasi 2 minit 39 saat yang ditularkan itu, telah mendatangkan kontroversi, kerana apa yang telah diperkatakan telah menggambarkan wujudnya pencabulan hak asasi yang kronik kepada kaum dan penganut agama lain terutama India beragama Hindu di Malaysia,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau mengulas kenyataan pemimpin utama pertubuhan radikal Hindraf yang memburuk-burukkan Malaysia di negara luar dengan menyebarkan kenyataan palsu berbaur fitnah dalam satu seminar dengan Ahli-Ahli Parlimen Belanda di Eropah pada 2011.

Pada seminar itu Waytha Moorthy mendakwa orang India dipaksa menganut agama Islam jika mahu bekerja di sektor awam selain berkata kononnya kira-kira 10,000 kuil telah dimusnahkan.

Mohd Muzzammil menegaskan, semua tuduhan itu sangat tidak berasas dan merupakan suatu pembohongan.

Dalam masa yang sama beliau turut mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjalankan siasatan berhubung dakwaan pencabulan hak asasi yang kronik seperti didakwa itu.

Tambahnya Waytha Moorthy tidak perlu mengeluarkan kenyataan berhubung ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana hanya akan mengundang provokasi dan krisis keyakinan rakyat kepada kerajaan PH.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.