Wakil UMNO dan PAS Gabung Tenaga ‘Sekolahkan’ Waytha Moorthy

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy akhirnya ‘akur’ dan terduduk apabila berterusan diserang oleh wakil-wakil rakyat pembangkang khasnya UMNO dan Pas hari ini.

Rata-rata mereka bangkit dan berteriak sehingga satu ketika dewan gamat dengan teriakan seperti ‘menteri rasis, menteri penipu, balik India’ selama kira-kira 10 minit.

Walaupun Waytha cuba menjawab setiap persoalan yang cuba dilontarkan khasnya isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) namun beliau terus ‘diserang.’

Malah ada kalangan mereka mendesak Waytha untuk diam dan berhenti menjawab kerana tidak memiliki kelayakan untuk bercakap tentang ICERD kerana sejarah silam beliau banyak menyebarkan dakwaan tidak betul tentang negara ini dan agama Islam.

Tidak cukup dengan itu, dewan semakin gamat apabila wakil rakyat menjadi lebih agresif dengan mula mengeluarkan kata-kata lebih ‘keras’ sehingga menyebabkan mikrofon terpaksa dimatikan oleh Yang DiPertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof.

Ahli Parlimen Tanjong Karang (BN), Datuk Seri Noh Omar yang kelihatan kurang sabar dengan setiap jawapan yang diberikan oleh Waytha menyuruhnya duduk daripada terus bercakap.

“Anda jangan cakap seolah-olah anda seorang sahaja peguam dalam dewan ini. Saya juga seorang peguam. Tak perlu cakap macam anda seorang sahaja.

“Anda adalah menteri rasis. Anda cakap lain di luar negara, di sini anda cakap lain pula. Anda hina Islam, anda hina Malaysia. Di sini anda berlagak hero,” tegurnya.

Lebih memeranjatkan, Ahli Parlimen Kubang Kerian (Pas), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa Waytha tidak layak untuk menjawab persoalan itu sebaliknya lebih baik Perdana Menteri menjawabnya.

Ahli Parlimen Kepala Batas (BN), Datuk Seri Reezal Merican pula memberi amaran kepada Waytha supaya tidak berterusan mengelirukan umum berhubung isu ICERD.

“Anda yang timbulkan polemik, saya mahu anda menjawab dengan jujur. Apakah ada jangka masa untuk memansuhkan Perkara 153, kerana mungkin akan ada tekanan daripada PBB supaya memansuhkannya? Ia melibatkan kontrak sosial kita.” tegasnya.

Bagaimanapun Waytha sekali lagi cuba menjawab namun masih diserang bertubi-tubi.

Isu video beliau di Belanda pada enam tahun lepas juga menimbulkan kemarahan umum tetapi Waytha berterusan mempertahankan tindakan itu tanpa perasaan bersalah kerana mendakwa mempunyai bukti kaum India ditindas.

Waytha tetap berkeras kerajaan terdahulu sememangnya melakukan diskriminasi terutamanya terhadap kaum India.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada masa itu mengamalkan diskriminasi dan saya mempunyai bukti,” jawabnya.

Malah cubaannya beralih kepada isu lain menimbulkan sekali lagi ‘kemarahan’ wakil-wakil rakyat BN malah ada yang mahu beliau terus duduk tanpa meneruskan sesi perbahasan.

Peliknya, tidak ada seorang wakil PH yang bangkit ‘mempertahankan’ Waytha dan membiarkan beliau terkapai-kapai diserang pembangkang. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.