UMNO Dan PAS Sudah Bertunang, Tak Sabar Tunggu Malam Pertama, Kata Tamrin

SHAH ALAM – Hubungan antara parti UMNO dan PAS semakin intim selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), apabila kedua-dua parti berteraskan Melayu dan Islam itu kini sudah pun ‘mengikat tali pertunangan’, demikian kata Datuk Tamrin Abdul Ghafar.

Tamrin yang juga anak kepada mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Ghafar Baba itu berkata, ia terbukti dengan tindakan parti pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu yang bersepakat menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk kesinambungan kerjasama kedua parti demi perjuangan Melayu Islam.

“Nada pemimpin-pemimpin kedua-dua parti tersebut menunjukkan mereka bukan saja lagi bercinta malah sudah pun mengikat tali pertunangan. Seolah-olah tidak sabar lagi menunggu malam pertama, Zahid tiba-tiba menganjurkan agar kedua-dua parti tersebut terus bergabung.

“Takkanlah PAS melalui Amanat Hadi Awang sanggup tidur sebantal dengan UMNO yang pernah disundalkannya suatu ketika dahulu. Apakah Hadi dan PAS sudah bersedia menjilat ludah dan kahaknya sendiri?,” katanya dalam satu kenyataan. 

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata jawatankuasa khas itu digerakkan di peringkat pusat untuk penganjuran program sosial bersama UMNO dan PAS, termasuklah penganjuran himpunan gergasi yang dijangka diadakan pada 8 Disember ini bagi membantah cadangan kerajaan melaksanakan Konvensyen Antarabangsa Mengenai  Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Dalam pada itu kata Tamrin, Zahid dan Hadi kebelakangan ini sengaja menggunakan isu agama dan perkauman untuk menyemai kebencian rakyat terhadap kerajaan PH.

Dengan membangkitkan isu ICERD, ujar Tamrin, PAS dan UMNO menggunakan ‘hubungan’ kerjasama itu untuk kepentingan masing-masing walupun pernah menjadi musuh ketat sebelum ini.

“Bagi Zahid dan pemimpin UMNO  yang lain terutama yang sedang dan bakal menghadapi pertuduhan undang – undang,  inilah peluang terbaik untuk mereka menyelamatkan diri.

“Bagi Hadi dan pemimpin-pemimpin PAS  inilah caranya menutup cerita Hudud yang telah dipermainkan oleh UMNO selama ini,”katanya lagi.

Tambah Tamrin, bagaimanapun UMNO, PAS dan pihak yang bersungguh mahu mengadakan himpunan gergasi pada 8 Disember ini pasti kecewa apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri bertegas bahawa Malaysia tidak mungkin akan meratifikasi ICERD.

“Dalam dunia politik biasanya apa yang diharapkan tak semestinya dapat, tetapi apa yang didapati adalah sesuatu yang tak pernah diharap.

“Sebagai contoh yang paling terbaru apabila rancangan PAS dan UMNO hendak mengganjurkan perhimpunan bantahan pada 8hb December ini terbantut atau sia-sia apabila Kerajaan melalui Perdana Menteri mengumumkan tidak melaksanakan ICERD.

“Semoga Hadi, Zahid, Tun Hamid Muhammad (bekas Ketua Hakim) dan beberapa orang Sultan dan pemakan dedak tidak berangan  seperti si Luncai dengan labu-labunya atau sekadar angan-angan Mat Jenin,” kata Tamrin. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.