UMNO dan PAS Desak Kerajaan PH Muktamadkan Keputusan Tolak ICERD

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen PAS dan Umno hari ini bersama mendesak kerajaan segera menolak cadangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD)

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tiada gunanya Putrajaya membuat pelbagai kenyataan dan bercakap mengenai keperluan mengkaji triti kontroversi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkaitan diskriminasi kaum itu.

“Rakyat hanya mahu mendengar satu keputusan, iaitu kerajaan menolak ICERD,” katanya di lobi Parimen hari ini.

Kenyataan itu menyusul beberapa jam selepas kekecohan tercetus di Dewan Rakyat ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy bercakap mengenai ICERD.

Ahli Parlimen pembangkang menyerang Waytha dengan gelaran “rasis” dan “penipu”, serta beliau tiada hak bercakap mengenai isu berkenaan.

Wakil rakyat PAS dan Umno kemudian keluar dari Dewan Rakyat dan mengadakan sidang media.

Tuan Ibrahim mendakwa Waytha tidak layak menjadi menteri yang menjaga perpaduan dan kesejahteraan sosial.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian berdasarkan satu video viral menunjukkan Waytha mendakwa kerajaan Barisan Nasional merobohkan 10,000 kuil Hindu.

Tuan Ibrahim mendesak Waytha menarik balik kenyataan itu, walaupun ia dibuat beberapa tahun tahun lalu dan mengulangi desakan supaya menteri itu meletak jawatan.

“Kami harap tindakan kami hari ini menjadi nasihat berguna kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk membetulkan keadaan, sebelum berlaku perkara-perkara tidak diingini,” katanya.

Pada sidang media sama, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mereka tidak puas hati dengan jawapan Waytha di Dewan Rakyat.

Beliau kecewa dengan senator itu kerana cuba memberi pandangan peribadi ketika bercakap bagi pihak kerajaan.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, beliau bimbang Malaysia perlu tunduk kepada tekanan antarabangsa, sekiranya kerajaan meratifikasikan ICERD.

“Akan ada senarai perkara yang perlu dlaksanakan. Setiap 4 tahun, kita akan ditekan untuk melaksanakan perkara di bawah ICERD,” katanya.

Ismail Sabri turut mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Waytha dan menafikan beliau mengambil kesempatan daripada isu tersebut.

Katanya, ICERD akan digunakan sebagai pintu belakang untuk menghapuskan hak Melayu dan bumiputera akhirnya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.