Saya Tak Buat Salah, Tak Akan Minta Maaf – Presiden MIC

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri SA Vigneswaran menyatakan pendirian untuk tidak memohon maaf terhadap dakwaan melanggar peraturan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seperti yang didakwa oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau menegaskan tiada keperluan berbuat demikian kerana dakwaan terhadapnya tidak benar.

Malah katanya tindakan Anthony seolah-olah mahu mencerminkan dirinya sebagai tidak berakhlak ternyata tidak benar.

“Sekali lagi saya tegaskan, saya tidak langgar undang-undang, ceroboh keselamatan dan sebagainya. Malah pandangan serta aduan saya terus di pandang sepi.

“Saya yang terlebih dahulu menulis surat aduan kepada pihak berwajib KLIA sebelum Menteri membuat sidang media kononnya mahu membuat pendedahan berhubung saya.

“Tetapi dengan media, boleh pula memberi kenyataan seolah-olah saya tidak mencerminkan akhlak yang baik. Ini tidak betul sebenarnya.

“Saya bukan bongkak sehingga menganggap perbuatan meminta maaf itu sesuatu yang merendahkan martabat, mengapa mohon maaf untuk sesuatu tidak betul? Itu sahaja,” tegas beliau kepada MalaysiaGazette.

Vigneswaran yang juga Presiden MIC terdahulu didakwa melanggar undang-undang keselamatan, selain daripada tidak mengenakan pemakaian khas bagi menggunakan laluan VIP di KLIA pada malam 14 November lepas.

Beliau memakai selipar dan juga didakwa tidak mahu melakukan pemeriksaan keselamatan seperti yang termaktub dalam undang-undang.

Tuduhan yang dibuat Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook disifatkan sebagai kebudak-budakan kerana membuat kesimpulan terlalu awal sebelum siasatan polis dilakukan. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.