Kerajaan Perlu Senada Dengan Permintaan Tolak ICERD Untuk Elak Ketegangan

KUALA LUMPUR – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata kerajaan Pakatan Harapan perlu mendengar permintaan rakyat menolak cadangan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) demi mengelak ketegangan dan keresahan rakyat yang berterusan.

Beliau berkata, akibat lebih buruk dan sukar dibendung bakal berlaku jika ia terjadi selain majoriti rakyat Malaysia sudah menunjukkan pelbagai tindakan dan reaksi terhadap cadangan tersebut.

“Walaupun ada individu dan pihak yang menyokong cadangan meratifikasikan konvensyen tersebut dengan alasan ia akan menyediakan peluang kepada masyarakat mengemukakan aduan terhadap diskriminasi kaum, namun hal sedemikian tidak relevan dalam konteks Malaysia.

“Ia memandangkan pihak berkuasa di sini, baik yang lama mahupun yang baharu, sering berusaha menegakkan keadilan untuk seluruh rakyat pelbagai kaum tanpa mengira latar belakang keturunan, kaum dan agama,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Wan Salim turut mengingatkan bahawa keadilan bukanlah beerti kesamarataan, sebaliknya ia adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sebenar dan sesuai dengan kedudukannya.

Justeru katanya, tidak timbul isu hak keistimewaan orang Melayu dan kaum-kaum pribumi yang disepakati oleh semua pemimpin kaum negara ini ketika menuntut kemerdekaan dahulu.

“(Sebaliknya) Keadilan menghendaki bahawa sebagai penduduk asal negara ini, orang Melayu dan golongan Bumiputera perlu diberikan hak-hak istimewa sebagai timbal balas terhadap (sikap) ‘murah hati’ mereka berkongsi kewarganegaraan dengan kaum-kaum lain yang datang kemudian ke tanah air mereka.

“Maka berdasarkan kepada fakta sejarah ini, di samping beberapa perkara berkaitan seperti yang dijelaskan tadi, kita berpandangan tiada keperluan untuk pihak kerajaan meratifikasikan ICERD dan diharap tiada lagi desakan oleh mana-mana pihak supaya kerajaan berbuat demikian,” katanya. – Suara.TV

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.