Dengan UMNO, PAS Lagi Bersemangat Melawan DAP Dan PH, Kata Nik Abduh

SHAH ALAM – PAS menerima mana-mana parti yang mahu bekerjasama dengannya asalkan parti berkenaan menghormati dan menerima perjuangan Islam mereka.

Bekas Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz berkata demikian sebagai menjawab mengapa parti itu kini bersahabat dengan UMNO, sedangkan dahulu memusuhi parti  berteraskan Melayu itu.

Ujar Ahli Parlimen Bachok itu lagi, sama seperti UMNO, PAS dahulu bersetuju menjalinkan kerjasama dengan DAP kerana parti itu juga menghormati perjuangan PAS. 

“PAS berbaik dengan UMNO hari ini? Jawab saja, oh, ya! Mengapa? PAS jawab, tanya DAP, mengapa PAS baik dengan DAP dulu? Kerana 2 perkara.

“DAP hormati PAS dan perjuangan Islamnya dan sama-sama mahu tumbangkan Umno-BN.

“Maka PAS pun menghormati dan berbaik dengan DAP. Sejarah persahabatan yang hebat itu kekal terpahat, takkan padam dalam sejarah politik negara. 

“Maka samalah jawabnya PAS berbaik dengan Umno. Umno menghormati PAS dan perjuangan Islamnya. Sama-sama mahu tumbangkan DAP-PH (Pakatan Harapan),” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Nik Abduh, PAS tetap konsisten mahu menumbangkan parti yang menentang perjuangan Islam yang hendak dibawa mereka.

“Mengapa dulu (PAS) mahu tumbangkan Umno, tapi kini DAP? Jawabnya, kerana sebab yang sama. Umno dulu amat liat terima Islam yang sempurna sebagai panduan pemerintahan mereka.

“Kini DAP-PH pula. Bukan saja liat, bahkan lebih teruk daripada itu. Ternyata DAP-PH lebih berbahaya dan membahayakan,” kata anak kepada Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat itu lagi.

Katanya lagi, walau tanpa UMNO sekalipun, PAS kekal dengan Islam dan kekal juga melawan DAP-PH. 

“Dengan UMNO, PAS lagi bersemangat melawan DAP-PH. Lagi bersemangat? Saya jawab, ya, tambah bersemangat,” kata beliau. 

Hubungan PAS dan UMNO mula akrab selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu, apabila pemimpin kedua-dua parti saling menghadiri perhimpunan agung tahunan masing-masing.

Kerjasama PAS-UMNO makin erat selepas kedua-dua parti bersepakat menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk kesinambungan kerjasama demi perjuangan Melayu Islam.

PAS dan UMNO juga senada membantah cadangan kerajaan melaksanakan Konvensyen Antarabangsa Mengenai  Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dengan kedua-duanya berkongsi pentas dalam beberapa penganjuran himpunan bantahan, termasuklah himpunan gergasi yang dijangka diadakan pada 8 Disember ini. -SuaraTv 

One thought on “Dengan UMNO, PAS Lagi Bersemangat Melawan DAP Dan PH, Kata Nik Abduh

  • November 20, 2018 at 9:58 am
    Permalink

    Silap besar gabung ?? PAS tk yakin diri sendiri ke selama ini???? Heran..pelik..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.