Baru Bian Jawab Teguran Anwar, Nafi Boikot Kongres PKR

SHAH ALAM – Selepas ditegur Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Kerja Raya, Baru Bian menjawab mengenai alasan ketidakhadiran beliau di Kongres Nasional parti itu semalam.

Menafikan memboikot Kongres Nasional PKR ke-13, Baru berkata beliau mempunyai tugasan lain yang perlu dihadiri. 

Katanya, kelmarin beliau berada di Ipoh untuk merasmikan majlis penutupan Sukan Kementerian Kerja Raya manakala di Kuantan untuk mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Wilayah Timur serta menghadiri Majlis Anugerah Kewartawanan Lebuhraya Pantai Timur 2018 (AKLPT18).

Baru juga berkata, beliau sebenarnya sudah mengarahkan Setiausaha Politiknya, Zakaria Abdul Hamid, untuk memaklumkan ketidakhadirannya kepada Sekretariat Kongres PKR kerana mempunyai lawatan rasmi di dua lokasi itu. 

“Saya hanya bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak dan tidak bertanding jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) kerana ingin beri ruang kepada orang lain.

“Sekiranya dilantik atau dipilih, saya akan menjadi semula, kalau tidak saya hanya ‘orang kecil’ dalam parti.

“Sebagai menteri pusat itu lain dengan jawatan dalam politik, ia tanggungjawab saya sebagai menteri yang harus saya jalankan,” katanya dipetik Berita Harian.

Anwar semalam memberi amaran keras kepada menteri kabinet dari parti itu kerana gagal menghadiri kongres berkenaan, yang ditujukan kepada Baru.

Ini kerana dua lagi menteri PKR, iaitu Datuk Saifuddin Abdullah dan Dr Xavier Jayakumar mempunyai tugasan di luar negara masing-masing di Papua New Guinea dan Mesir.

Bagaimanapun Baru berkata, seperti Saifuddin dan Xavier, beliau tidak memboikot sebaliknya mempunyai tugasan, bezanya beliau hanya di dalam negara. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.