Saya Hanya Tahu Melalui Whatsapp Anak Ditahan Polis – Husam Musa

PETALING JAYA – Datuk Husam Musa berkata, polis belum memaklumkan anaknya, Ahmad Syafi ditahan kerana memiliki 200 biji pil kuda.

Naib presiden Amanah itu berkata, beliau hanya mendapat tahu anaknya ditahan polis melalui seorang rakannya.

“Saya hanya mendapat tahu anak saya, Ahmad Syafi direman di Mahkamah Kota Bharu atas tuduhan memiliki pil kuda jam 5.22 petang tadi, apabila seseorang menghantar imej laporan Malaysiakini melalui WhatsApp.

“Sehingga kini, tiada pemakluman rasmi oleh polis dibuat kepada saya mengenai penahanan itu.

“Juga tiada pemakluman polis bahawa beliau akan dibawa ke mahkamah untuk tahanan reman pagi tadi. Saya juga tidak diberitahu sehingga kini di mana anak saya ditahan,” katanya dalam catatan di Facebooknya.

Adun Salor itu berkata, jirannya memaklumkan anaknya ditahan sekumpulan lelaki petang semalam.

Katanya, beliau akan mengeluarkan kenyataan penuh selepas mendapat maklumat penuh daripada polis dan dibenarkan menemui anaknya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Ismail Mat Sidik dipetik Harian Metro mengesahkan suspek berusia 29 tahun itu ditahan jam 3.30 petang tadi kerana memiliki 200 biji pil kuda.

Katanya, lelaki itu ditahan di depan sebuah rumah di Jalan Pasir Mas-Salor, Kota Bharu, semalam.

Beliau berkata, berlaku pergelutan antara sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dengan suspek sebelum dia ditahan.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Kota Bharu untuk mendapatkan perintah tahanan reman selama 4 hari bermula hari ini sehingga Rabu ini.

“Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dipetik akhbar itu. – Fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.