Perpustakaan ‘Palsu’ Jadi Tular

BEIJING – Media China melaporkan Perpustakaan Binhai di Tianjin dekat sini yang baru dibuka bulan lalu tetapi sebenarnya lebih indah khabar daripada rupa.

Bangunan setinggi enam tingkat yang berbentuk arca itu mencetuskan kritikan netizen apabila ramai pengunjung mendakwa ‘tertipu’ dengan imej buku disusun di rak walhal sebetulnya ia hanya cetakan dinding dua dimensi, petik Newshub.

Rupa-rupanya ia cuma gimik suasana ruang legar utama perpustakaan baharu tersebut yang ketika ini memiliki kira-kira 200,000 judul buku sahaja diletakkan di rak ditetapkan di bahagian dalam bangunan berkenaan.

Menurut Timbalan Pengarah Perpustakaan Binhai, Liu Xiufeng, pihak berkuasa tempatan tidak membenarkan buku dipamerkan di kawasan atrium utama yang direka khusus untuk pengunjung duduk, pembacaan dan perbincangan.

Ini mengakibatkan ramai netizen mengkritik hasil karya firma arkitek terkenal, MVRDV dari Belanda yang membina perpustakaan tersebut kerana berjaya ‘memperdayakan’ masyarakat dengan rekaan berkonsepkan futuristik itu.

Meskipun begitu, pihak pengurusan perpustakaan berkenaan dilaporkan bakal menambah koleksi sehingga 1.2 juta judul buku dalam masa terdekat selaras dengan usaha membudayakan amalan baca dalam kalangan penduduk.

Dianggarkan secara purata 15,000 pengunjung membanjiri bangunan tersebut setiap minggu, naik tiga kali ganda selepas imej unik perpustakaan itu menjadi tular menerusi media sosial tempatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.