Kamera AES Kesan Pemandu Guna Telefon?

KUALA LUMPUR — Kerajaan merancang mengesan pemandu yang menggunakan telefon tangan melalui kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES). 

Kementerian Pengangkutan ingin mengkaji menggabungkan teknologi baharu di kamera AES, dedah Datuk Ab Aziz Kaprawi, lapor Mingguan Malaysia.

Timbalan menteri pengangkutan berkata langkah itu bertujuan membendung kesalahan tersebut, antara penyebab meningkatnya nahas jalan raya.

“Kementerian akan menilai untuk meningkatkan fungsi kamera AES untuk mengesan pemandu yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu,” katanya.

Ab Aziz berkata pemandu berani menggunakan telefon bimbit kerana mereka menyedari penguatkuasaan tidak cukup untuk mengesan mereka. 

“Oleh itu kamera AES dilihat mungkin boleh berperanan untuk mengatasi masalah ini,” katanya lagi seperti dilapor Utusan Online.

Kementerian bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengkaji gabungan teknologi tersebut, selain meningkatkan kadar hukuman.

Ketua pengarah JPJ Datuk Shaharuddin Khalid baru-baru ini menyarankan hukuman bagi kesalahan menggunakan telefon ketika memandu perlu dipinda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.