Nurul Izzah Digesa Jelaskan Pertemuan Dengan Anak Jamalul Kiram

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar digesa memberikan penjelasan di sebalik sekeping gambarnya bersama anak perempuan bekas Sultan Sulu yang dimuatnaik di media sosial.

 

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata penjelasan itu perlu dilakukan memandangkan ia menimbulkan sensitiviti di kalangan masyarakat, terutamanya di Sabah yang terkesan dengan insiden pencerobohan pada Februari 2013.

 

“Izzah kena beri penjelasan. (Sebab) Jangan timbulkan syak wasangka, walaupun ia (mungkin) nampak gambar biasa, sesiapa sahaja boleh ambil.

 

“Ia perkara yang sensitif,” katanya kepada pemberita di Lobi Dewan Rakyat, pagi tadi.

 

Gambar Izzah bersama Jacel Kiram, anak kepada Jamalul Kiram III yang sebelum ini mengarahkan seramai 200 tentera Sulu untuk menceroboh Sabah pada Februari 2013 menggemparkan pengguna laman media sosial sejak beberapa hari ini.

 

Dalam sekeping gambar, Izzah dilihat sedang makan malam bersama Jacel dan seorang lelaki yang tidak dikenali.

 

Izzah juga dilihat bergambar dengan Jacel sambil memegang poster bertulis ‘Release Anwar Immediately’.

 

Gambar-gambar berkenan dipercayai diambil pada bulan ini. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.