Upin Ipin Jumpa Ultraman Di Tokyo

Kuala Lumpur – Selepas kejayaan ikon animasi popular negara, Upin & Ipin bekerjasama dengan watak kartun legenda Jepun, Ultraman menerusi satu episod istimewa disiarkan baru-baru ini, satu lembaran baru dicipta apabila dua restoran francais ikon berkenaan akan dibuka di Tokyo.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam dan Media Baru, Les’ Copaque Productions Sdn Bhd, Mohd Zarin Abdul Karim berkata, sejak tayangan episod istimewa Upin & Ipin Ultraman Ribut baru-baru ini mendapat sambutan hangat peminat animasi tanah air, mereka mengorak langkah menerusi kolaborasi syarikat pemilik jenama Ultraman dari Jepun, Tsuburaya Productions.

“Sewaktu kolaborasi kami untuk episod Upin & Ipin Ultraman Ribut dengan Tsuburaya, tidak sangka rupanya mereka juga mengetahui kewujudan Upin & Ipin sebagai animasi Malaysia yang popular.

“Menariknya, syarikat itu masih aktif menerbitkan siri Ultraman hingga sekarang dan menyatakan minat untuk melaksanakan beberapa projek dengan Les’ Copaque,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest.
Katanya, masih terlalu awal untuk mendedahkan butiran lanjut projek berkenaan apatah lagi ia baru di peringkat perbincangan.
“Apapun, kami mengambil peluang ini untuk mengukuhkan lagi jenama Upin & Ipin di peringkat antarabangsa.
“Dalam pada itu, sebenarnya kami giat melaksanakan perancangan membuka dua restoran makanan halal di sekitar bandar Tokyo dan ia dijangka mula beroperasi sebelum hujung tahun ini,” katanya.
Siri istimewa, Upin & Ipin Ultraman Ribut disiarkan pada 14, 15 dan 16 November lalu menerusi TV9 dan ia turut menjadi ‘viral’ di Internet termasuk ditonton lebih 1.06 juta penonton menerusi YouTube.
Dalam perkembangan lain, Upi & Ipin juga dilantik sebagai duta festival makanan halal di Jepun dikenali ‘Japan Halal Fair’ yang akan berlangsung pada 26 November ini.

“Syarikat kami merupakan penaja untuk festival tersebut dan kami akan membawa Upin & Ipin ke sana kerana mereka juga dilantik sebagai duta untuk festival itu,” katanya.
Sementara itu, Karnival Upin & Ipin akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 21 hingga 23 November ini. Lebih istimewa, acara ini turut menampilkan persembahan langsung daripada Ultraman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.