Tukang Cucuk Sate Jadi Popular Lepas Hina Jokowi

Jakarta – Tukang cucuk sate yang pernah ditahan polis kerana menghina Presiden Jokowi dilaporkan menjadi popular dalam kalangan penduduk setempat.

Muhammad Arsyad Syafrudin berkata, pada setiap hari ada saja orang menyapa dan ingin bergambar dengannya.

“Kadang-kadang mereka masukkan gambar kami ke Facebook. Saya malu juga,” katanya.

Muhammad Arsyad baru-baru ini ditangkap dan dijel selepas ada pihak membuat aduan kepada polis mengenai status dimuat naiknya di Facebook menghina Jokowi.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Arsyad berkata, pemuda berusia 23 tahun itu terikut-ikut dengan kehangatan pemilihan presiden beberapa bulan lalu.

Jokowi kemudian memaafkan kesalahan Muhammad Arsyad, tetapi mengingatkan ibu bapanya supaya lebih menjaga pemuda terbabit agar kesilapannya tidak diulang.

Kata Muhammad Arsyad, pada ketika tertentu ada penunggang motosikal atau pemandu kereta sengaja berhenti di depan gerai untuk melihatnya.

Walaupun mengakui malu, Muhammad Arsyad tidak sepenuhnya keberatan dengan populariti dikecapinya.

“Kini pendapatan di warung sate majikan saya meningkat lebih banyak,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Muhammad Arsyad juga membuka warung sendiri di depan rumahnya dengan menjual pelbagai makanan serta keperluan asas.

– Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.