Suspek Rompak Kedai Emas Serah Diri

Brinchang – Suspek keempat yang dipercayai terbabit dalam satu rompakan di sebuah kedai emas, menyerah diri hari ini.

Suspek yang juga penduduk tempatan itu menyerah diri di Balai Polis Brinchang, kira-kira jam 10 pagi tadi.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Mohd Zahari Wan Busu.

“Suspek dipercayai membuat keputusan untuk menyerah diri, setelah menyedari dia tidak dapat melarikan diri.

“Beberapa sekatan jalan raya di kawasan strategik dibuat dan ia turut disertai unit anjing pengesan,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek yang dipercayai terbabit dalam rompakan itu, berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397, kerana samun berkawan dan bersenjata.

Menurut saksi, perompak yang bersenjatakan tukul itu, bertindak menyerbu kedai emas berkenaan, sebelum memecahkan rak pameran dan melarikan barang kemas.

Suspek cuba melarikan diri dengan sebuah kereta, namun gagal setelah dihalang penduduk yang bertindak menyekat kereta terbabit dengan kenderaan mereka.

Keadaan itu memaksa kumpulan terbabit meninggalkan barang kemas dalam kereta itu, sebelum melarikan diri dengan berjalan kaki.

Tiga daripadanya berjaya diberkas beberapa jam selepas rompakan itu, setelah polis memburu mereka di kawasan perkampungan berhampiran dengan bantuan penduduk.

Seorang daripada suspek bertindak menyembunyikan diri dalam stor yang tidak digunakan di kawasan Balai Polis Ringlet.

Menurut penduduk di kawasan itu, rompakan terbabit adalah yang pertama kali berlaku di tempat berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.