Struktur Politik Dan Kuasa Politik Melayu : Apa Nasib Melayu Pulau Pinang

Kuala Lumpur – Kuasa politik Melayu meletakkan struktur politik di negara ini agak unik kerana pertembungan parti-parti pemerintah dalam komponen Barisan Nasional (BN) mahupun parti-parti dalam komponen Pakatan Rakyat (PR) dilihat sering merebut-rebut untuk memujuk dan mengekalkan sokongan orang-orang Melayu agar akar kekuatan warisan politik mereka terus bernyawa.

Melayu Pulau Pinang miskin salah siapa?

Lebih kurang seminggu lagi untuk Perhimpunan Agung UMNO 2014 berlangsung, Ahli Parlimen Bukit Bendera (DAP), Zairil Khir Johari mendakwa bahawa orang Melayu di Pulau Pinang miskin adalah kerana Barisan Nasional atau lebih tepat lagi kerana UMNO. Ini respon beliau kepada kenyataan yang dibuat oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery yang sebelum ini dipetik sebagai berkata bahawa ‘negeri tertentu’ bersembunyi disebalik dasar meritokrasi untuk mendiskriminasikan orang Melayu secara halus. Walaupun beliau tidak menyebut negeri mana secara khusus namun boleh diandaikan bahawa beliau merujuk kepada Pulau Pinang yang kini dibawah pentadbiran DAP.

Secara jujurnya memang harus diakui bahawa UMNO dan Gerakan Pulau Pinang bertanggungjawab dalam soal kewujudan kemiskinan dinegeri itu secara umum tanpa merujuk kepada mana-mana etnik. Dalam Laporan Malaysiakini bertarikh 15 November 2014, Ahli Parlimen Bukit Bendera ini berkata bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga memberikan bantuan kebajikan kepada semua keluarga yang berpendapatan isi rumah di bawah RM790 sebulan dan menurutnya ini adalah yang tertinggi di Malaysia. Ini senada dengan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan disiarkan dalam The Malaymail Online bertarikh 14 November 2014 bahawa perbelanjaan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meningkat sejak tahun 2008 disebabkan oleh peningkatan dalam program-program kebajikan sosial di negeri tersebut.

Benarkah kebajikan prioriti utama DAP?

Memetik kata-kata Lim Guan Eng yang diterbitkan dalam artikel yang sama menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membelanjakan sejumlah RM287.138 juta bagi program-program kebajikan sosial antara 2008 hingga November 2014. Sementara itu peruntukan yang disediakan untuk membiayai program-program ini bagi tahun 2015 pula adalah sebanyak RM116.94 juta. Beliau dipetik sebagai memberitahu Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bahawa kerajaan negeri telah memulakan program-program kebajikan sosial pada tahun 2008 seperti bantuan pendidikan, bantuan kebajikan dan lain-lain.

Hakikatnya, sepanjang tahun 2008 sehingga November 2014 Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membelanjakan sebanyak RM3.76 bilion dan RM287.138 juta yang dibelanjakan untuk program-program kebajikan sosial hanyalah merangkumi sebanyak 7.6% daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan kerajaan negeri bagi tempoh yang sama. Peliknya, bagaimana boleh disimpulkan bahawa peningkatan perbelanjaan kerajaan negeri empat kali ganda sejak 2008 ini disebabkan peningkataan perbelanjaan program kebajikan sosial yang hanya sebanyak 7.6% sahaja?

Juga menurut Lim Guan Eng, perbelanjaan untuk program-program kebajikan sosial yang dibajetkan bagi tahun 2015 adalah sebanyak RM116.94 juta sedangkan perbelanjaan keseluruhan kerajaan negeri yang dibajetkan bagi tahun yang sama adalah sebanyak RM992 juta iaitu menyaksikan peningkatan sebanyak RM452 juta jika dibandingkan perbelanjaan pada tahun 2012 iaitu sebanyak RM540 juta.

Menariknya, pada tahun 2007, perbelanjaan tahunan Kerajaan Negeri Pulau Pinang hanyalah sebanyak RM270 juta dan pada tahun 2015 nanti kerajaan negeri dijangka akan membelanjakan RM992 juta. Sedangkan pada tahun 2007, perbelanjaan tahunan Kerajaan Persekutuan ialah sebanyak RM135 bilion dan pada tahun 2013 pula ialah sebanyak RM234 bilion.

Beruntunglah orang Melayu Pulau Pinang

Jika benar dakwaan Ahli Parlimen DAP bahawa kemiskinan itu adalah legasi UMNO selama lebih 50 tahun memerintah negara dan Pulau Pinang maka sesungguhnya mengambil kira kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang di DUN sudah boleh diandaikan bahawa melalui peruntukkan tertinggi melibatkan perbelanjaan program kebajikan sosial, tidak mungkin ada peluang buat orang-orang Melayu merungut mengenang nasib mereka di negeri berkenaan.

Penduduk-penduduk Melayu termasuk bukan Melayu yang mendiami mana-mana 25 buah kampung yang dalam risiko untuk dirobohkan termasuklah Perkampungan Warisan Siam, Ladang Pepper di Tanjung Bungah, Kampung Perda, Kampung Mutiara, Kampung Chetty, Kampung Tanjung Bungah, Kampung Pokok Asam, Kampung Batu Uban, Kampung Binjai dan Kampung Tok Subuh ini seharusnya bersyukur kerana bagaimana mungkin kerajaan negeri akan mendiskriminasikan anda secara halus? Ini belum lagi mengambil kira Kampung Sungai Nyior, Butterworth yang terletak dibawah parlimen yang dimenangi oleh Ketua Menteri itu sendiri.

Malah, para peniaga gerai yang marah dan kecewa baru-baru ini disebabkan kenaikan sewa gerai 20%-100% oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) juga seharusnya bersyukur kerana itu bukannya diskriminasi tetapi mengajar anda bagaimana untuk membantu kerajaan negeri kekal berfungsi dengan bergantung kepada kutipan sewa yang tinggi.

Seharusnya, kuasa Melayu di negeri ini bakal menjadi anjakan paradigma dalam menonjolkan apa itu Melayu versi DAP sambil kehulu kehilir melaungkan keramat sakti ‘takkan Melayu hilang’ di Pulau Pinang.

Kepada kepimpinan DAP, hentikan mengungkit perkara yang lepas. Sudah enam tahun anda berkuasa di Pulau Pinang maka tunjukkan kepada rakyat negeri ini akan perubahan yang telah anda lakukan selain daripada penjualan tanah secara drastik dan pengurusan ekonomi negeri yang tidak mapan.

Edwin Michael merupakan Pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.