Singapura Sokong Malaysia Selaku Pengerusi Asean

Kuala Lumpur – Singapura akan memberi sokongan kepada Malaysia dalam menjalankan tanggungjawab sebagai Pengerusi Asean tahun depan, dan dalam peranannya selaku anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menegaskan demikian, Speaker Parlimen Singapura Halimah Yacob berkata ini memandangkan kedua-dua negara telah berkongsi dan bekerjasama dalam banyak perkara, terutama berkaitan rantau ini.

“Tahun depan banyak yang akan dilakukan Malaysia. Oleh itu, Singapura akan terus beri sokongan terhadap apa-apa usaha Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di bangunan Parlimen pada Rabu.

Halimah, yang berada di sini untuk lawatan rasmi tiga hari atas undangan Pandikar Amin, berkata Malaysia merupakan jiran yang paling dekat, rapat dan penting bagi Singapura, dan kedua-dua negara mempunyai hubungan yang baik dan erat dalam pelbagai aspek.

Beliau turut melahirkan rasa simpatinya terhadap tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan MH17.

Pesawat MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal sedang dalam penerbangan ke Beijing apabila ia hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 8 Mac.

Usaha mencari pesawat itu di dasar laut ketika ini dilakukan di selatan Lautan Hindi di luar pantai barat Australia – lokasi ia dipercayai jatuh setelah melencong daripada laluan asal dalam keadaan penuh misteri.

Pesawat MH17, yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pula, ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai dan mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 44 rakyat Malaysia dan 38 warga Australia.

Halimah turut mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal Parlimen; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim; dan Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.