PPPM Tidak Dibenarkan Pakai Uniform Menyerupai Penguatkuasa

Kuala Lumpur – Mana-mana anggota atau ahli-ahli pertubuhan yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) termasuklah Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) tidak dibenarkan sama sekali memakai uniform dan memberi pangkat-pangkat yang menyerupai anggota atau pegawai penguatkuasa yang dilantik dan diwartakan di bawah warta kerajaan.

Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Mohamad Razin Abdullah berkata, pertubuhan-pertubuhan tersebut hanya dibenarkan menggunakan bendera, lambang atau lencana yang telah didaftarkan selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 50, akta yang sama.

Menurutnya, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) sedang menyiasat perkara berkenaan dan sekiranya terdapat bukti yang anggota-anggota pertubuhan tersebut menggunakan uniform menyerupai Polis Diraja Malaysia (PDRM), tindakan akan diambil.

“Sekiranya mereka didapati melakukan aktiviti-aktiviti yang menyeleweng daripada matlamat asal penubuhan dan menyalahi undang-undang, JPPM boleh mengambil tindakan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Pertubuhan 1966, termasuk membatalkan pendaftaran pertubuhan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata demikian mengulas penyebaran gambar penggunaan uniform oleh anggota-anggota sebuah pertubuhan iaitu Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) yang seakan-akan menyerupai uniform PDRM di media sosial ketika ini.

Tambah Razin lagi, berdasarkan rekod JPPM, persatuan tersebut adalah sebuah pertubuhan induk bercawangan berdaftar pada 13 Februari 2003 dengan nombor pendaftaran PPM-018-06-13022003 dan beralamat di No. 3, Lorong Kurnia Jaya 1, Taman Kurnia Jaya, 25150 Kuantan, Pahang.

Jelasnya, PPPM juga didaftarkan atas sebuah pertubuhan bertaraf kebangsaan yang bermatlamatkan antaranya untuk mendapat perlindungan kesihatan dan keselamatan pengguna, menjaga dan memelihara alam sekitar serta memberi kesedaran tentang keselamatan jalan raya.

PPPM juga berusaha memelihara kemudahan-kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan kepada pengguna-pengguna, merapatkan perpaduan sesama kaum tanpa mengira agama dan bangsa serta bersama-sama berusaha melindungi pengguna daripada perkara-perkara curang, terpedaya atau menerima maklumat-maklumat yang mengelirukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.