Pengajaran Setimpal, Disebat Atas Kesalahan Merompak

Kuala Lumpur – Dua pesalah muda hari ini menerima pengajaran setimpal apabila masing-masing diberi tujuh dan lapan kali sebatan ringan di Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan melakukan rompakan berkumpulan.

Bekas pelajar pusat latihan kemahiran Mohamed Shaznee Jahn Mohamed Yasin, 19, dan bekas penjaga pusat hiburan Redzohaan Abdullah, 20, disebat oleh pegawai Penjara Kajang menggunakan rotan halus sepanjang anggaran satu meter di hadapan Hakim Ahmad Bache.

Mereka, yang berpakaian penjara, kelihatan tenang ketika diarah membongkok di meja hadapan mahkamah. Bagaimanapun mula mengerang kesakitan apabila disebat bagi kali keempat dan seterusnya.

Pada 4 September lepas, Mohamed Shaznee Jahn dijatuhi hukuman penjara setahun setengah dan tujuh sebatan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 24 November 2013.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan merompak dengan menggunakan sebatang kayu ke atas Teo Len Hoo, 61, dengan mengambil wang tunai RM418 bersama seorang lagi yang masih bebas di Kedai Internet V-Hyper Enterprise, C-38(amp)40, Plaza Usahawan Genting Klang, Setapak di sini pada 6.24 pagi 24 November 2013.

Sementara Redzohaan, pada 21 Ogos lepas, mahkamah menjatuhi hukuman penjara dua tahun dan lapan sebatan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 6 Feb lepas, selepas dia mengaku bersalah melakukan rompakan berkumpulan bersama dua lagi yang masih bebas, bersenjatakan parang terhadap Martin Anak Iyan, 37, dengan merompak telefon bimbit, tablet dan wang tunai RM300 di Kedai KK Mart, Batu 2 1/2 Jalan Ipoh di sini pada 3.30 pagi 31 Jan 2014.

Selepas hukuman rotan dijalankan, Hakim Ahmad menasihati kedua-dua tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama dan ia dapat memberi pengajaran kepada orang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.