Pendaftar Pertubuhan Siasat Dakwaan PPPM Guna Uniform Menyerupai PDRM

Putrajaya – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) akan menyiasat jika terdapat penggunaan uniform menyerupai Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh anggota Briged Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM).

Ketua Pengarah JPPM Mohammad Razin Abdullah berkata siasatan juga akan melihat jika pertubuhan itu melakukan aktiviti menyeleweng daripada matlamat asal penubuhan dan menyalahi undang-undang sedia ada dalam negara.

“Sekiranya terdapat bukti yang cukup, JPPM tidak teragak-agak mengambil tindakan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Pertubuhan 1966, termasuk membatalkan pendaftaran pertubuhan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau mengulas laporan media sosial berhubung penggunaan uniform oleh anggota PPPM yang didakwa seakan-akan menyerupai uniform PDRM.

Katanya, berdasarkan rekod, persatuan itu adalah pertubuhan induk bercawangan yang berdaftar dengan JPPM pada 13 Feb 2003 dengan No Pendaftaran PPM-018-06-13022003 beralamat di No 3, Lorong Kurnia Jaya 1, Taman Kurnia Jaya, 25150 Kuantan, Pahang.

Mohammad Razin berkata PPPM adalah pertubuhan bertaraf kebangsaan yang bermatlamat mendapat perlindungan kesihatan dan keselamatan pengguna, menjaga dan memelihara alam sekitar serta memberi kesedaran tentang keselamatan jalan raya.

Beliau berkata matlamat PPPM juga untuk memelihara kemudahan awam yang disediakan kerajaan, merapatkan perpaduan sesama kaum tanpa mengira agama dan bangsa serta bersama-sama berusaha melindungi pengguna daripada perkara curang, terpedaya atau menerima maklumat mengelirukan.

Justeru, mana-mana anggota PPPM atau anggota pertubuhan yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) tidak dibenarkan sama sekali memakai uniform dan memberi pangkat menyerupai anggota atau pegawai penguatkuasa yang dilantik dan diwartakan di bawah Warta Kerajaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.