Mangsa Banjir Di Terengganu Meningkat Ke 2,312 Orang

Kuala Terengganu – Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat apabila 2,312 mangsa daripada 589 keluarga dipindahkan ke 18 pusat pemindahan di empat daerah sehingga jam 9 pagi ini.

Tiga daerah yang terbabit banjir sejak petang semalam ialah Kuala Terengganu, Marang dan Setiu, manakala Hulu Terengganu dilanda banjir sejak malam tadi.

Pemangku Pengarah Setiausaha Majlis Keselamatan Negeri Terengganu, Roslina Ngah, berkata, daerah Kuala Terengganu masih mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 1,575 mangsa dari 407 keluarga.

Semua mangsa dipindahkan ke 10 pusat pemindahan iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering (54 mangsa); Dewan Sivik Gong Badak (110); SK Kompleks Gong Badak (833); SK Gong Tok Nasek (lapan) dan SK Tok Jiring (92).

SK Tok Jembal (348); SK Bukit Petiti (27); SK Tanjung Gelam (66); SK Bukit Nenas (26); SK Teluk Ketapang (11).

Bagi daerah Marang, seramai 642 mangsa dari 154 keluarga pula dipindahkan ke dua pusat pemindahan iaitu SMK Seri Payong (417) dan SK Rusila (225).

Di daerah Setiu, seramai 54 mangsa dari 15 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan iaitu Balairaya Kampung Sungai Lerek (12); Surau Kampung Sungai Pinang (36) dan Balai Raya Rhu Tapai (enam).

Peserta projek tanaman berkelompok, Rokiah Jusoh memeriksa sayur kangkung yang hampir mati akibat ditenggelami air di Kampung Che Long, Chabang Tiga di Kuala Terengganu. Seramai 16 peserta projek tanaman berkelompok mengalami kerugian kira-kira RM30,000 akibat kawasan tanaman seluas enam hektar di Kampung Che Long musnah di tenggelami air selepas hujan yang berterusan sejak kelmarin.

Sementara itu di Hulu Terengganu pula menyaksikan 41 mangsa dari 13 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan.

Roslina berkata, dengan keadaan cuaca semasa yang berterusan hujan, pihaknya menjangka lebih ramai mangsa dan kawasan akan terjejas banjir.

“Setakat ini kebanyakan sungai di negeri ini berada pada paras amaran dan semua jalan utama masih boleh dilalui,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.