Kapal TLDM Karam

Lumut – Sebuah kapal hidrografi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Perantau tenggelam ketika sedang menjalani penyenggaraan di Limbungan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) yang terletak dalam Pangkalan TLDM Lumut, malam Selasa.

TLDM dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan bahawa KD Perantau yang sedang menjalani Senggaraan Refit (pasang pulih) di Limbungan BNS, telah mengalami kebanjiran pada jam 11.17 malam akibat kebocoran.

Usaha menyelamatkan kapal berkenaan masih giat dijalankan ketika ini oleh BNSSB dengan dibantu oleh TLDM.

Bagaimanapun tidak ada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden itu.

KD Perantau adalah sebuah kapal hidrografi yang dibina di Limbungan Hong Leong-Lursen di Pulau Pinang dan ditauliahkan pada 12 Oktober 1998.

Kapal berkenaan diserahkan kepada Limbungan BNSSB untuk menjalani selenggaraan rutin pasang pulih (refit) pada 10 November lalu dan dijangka siap untuk diserah kembali kepada TLDM pada 10 Ogos tahun depan.

Sebelum kejadian, hampir kesemua peralatan mudah alih seperti motor, pam dan peralatan pengukuran telah dikeluarkan dari kapal itu, sekaligus meminimumkan kadar kerosakan serta jumlah kerugian.

TLDM akan menubuhkan sebuah Lembaga Siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.