Hanez Sudah Bertemu Cinta Baru Bersama Juruterbang

Kuala Lumpur – Selepas kisah cinta kontroversi dengan Romie berlalu, timbul pula cerita baru mengenai pelakon Hanez Suraya dikatakan sudah bertemu cinta baru.

Sejak beberapa hari lalu, nama pelakon drama ‘Love You Mr. Arrogant’ ini kembali menjadi bualan apabila beberapa keping foto tersebar di Internet menunjukkan dia bersama seorang lelaki.

Spekulasi bertambah kuat apabila ada komen peminat yang berjaya ‘mengesan’ lelaki tersebut adalah seorang juruterbang.

Bertanyakan sendiri kesahihan ini kepada tuan empunya badan, Hanez yang dihubungi Malaysia Digest menyatakan dia memohon kepada semua pihak menghentikan gosip kononnya dia sudah bertemu kekasih baru.

“Sudahlah buat gosip pasal saya. Apa yang jadi (kontroversi) pada saya sebelum ini, cukuplah. Saya tak mahu komen lebih-lebih. Saya bimbang nanti kalau tersalah cakap, lain pula cerita yang timbul,” katanya.

Begitupun, Hanez mengakui dia mengenali dan berkawan rapat dengan jejaka tersebut.

“Kami berkawan rapat. Itu saja yang boleh saya katakan. Selama ini dia banyak bagi semangat kepada saya.

“Dia tahu tentang kontroversi saya tetapi dia tidak kisah berkawan dengan saya. Kami pun bukannya selalu berjumpa,” katanya sambil mengesahkan temannnya itu seorang juruterbang tetapi enggan mendedahkan identiti lelaki berkenaan.

Dalam pada itu Hanez juga berkata, dia sebolehnya tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana lelaki buat masa ini kerana pengalaman lalu banyak memberi pengajaran kepadanya. Meskipun bergelar artis, dia juga manusia biasa yang mahu menjalani kehidupan seperti orang lain.

“Berilah saya peluang dan ruang untuk menjalani kehidupan seperti mana orang lain. Bagilah saya bahagia dengan jalan saya sendiri.

“Salahkah saya hendak berkawan. Selama ini saya ada juga mengambil gambar dengan lelaki tetapi tidak pula dijadikan isu.

“Mesra sangatkah gambar yang tersebar itu sehingga orang mahu buat spekulasi macam-macam? Lagipun kapsyen di gambar itu pun tidak menunjukkan kami ada hubungan lebih dari sekadar berkawan.

“Saya tahu dia memuat naik gambar itu dan saya tak kisah sebab apabila lepak dengan kawan, kita mengambil gambar bersama.

“Tapi apa yang pelik, IG dia ‘private’. Jadi saya tak tahu macam mana gambar itu boleh tersebar,” katanya tidak menunding kesalahan kepada sesiapa sebaliknya, sedia maklum ada pihak kurang senang dengan dirinya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.