Diana Danielle Dihalau PRO, Halang Jumpa Media

Petaling Jaya – Aktres Diana Danielle, 23, menjelaskan tindakannya meninggalkan sebuah majlis pelancaran produk baru-baru ini hanyalah salah faham dan bukan mengelak atau melarikan diri daripada pihak media.

“Saya minta maaf kepada semua media yang terasa dengan saya pada tempoh hari. Sebenarnya, saya diarahkan pegawai perhubungan awam (PRO) acara tersebut supaya pulang kerana kerja saya telah pun selesai,” katanya kepada Malaysian Digest pada sesi prebiu filem terbaru lakonan suaminya, Farid Kamil berjudul Kaki Kitai di Puchong, Selangor, semalam.

Menurutnya, dia menunggu media untuk menemubualnya selepas majlis berkenaan selesai tetapi mendakwa diarah pulang PRO berkenaan.

“Memang sebelum itu saya dimaklumkan pihak media mahu menemubual dan saya pun tertanya tentang sesi temubual itu.

“Saya memang sudah bersedia untuk ditemubual tetapi apabila diarah pulang, saya terus pulang tambahan saya memang letih sebab baru balik dari Jakarta sebelum terus ke acara berkenaan,” katanya.

Heroin filem epik termahal dalam sejarah negara, Hanyut arahan U-Wei Shaari ini tidak menyalahkan mana-mana pihak mahupun laporan negatif tentang dirinya sebaliknya berharap hal itu tidak dibangkitkan lagi.

“Saya tak salahkan mana-mana pihak. Malah, saya tidak kecewa dengan laporan negatif terhadap saya.

“Cuma, saya berharap jika inginkan lebih penjelasan, pihak media yang melaporkan itu boleh bertanya kepada pihak PRO terbabit,” ujarnya.

Sementara itu, Diana menyatakan masih belum aktif berlakon sepenuhnya memandangkan anaknya, Muhammad yang kini berusia setahun empat bulan masih menyusu badan.

Sejak bergelar isteri dua tahun lalu, Diana mengakui seronok menguruskan keluarga.

Diana berkata, dia baru selesai menjalani penggambaran telefilem, Talak dan mengakui tertarik terhadap skrip dan karakter yang dilakonkan sebagai wanita bertudung.

“Saya terima berlakon dalam telefilem ini kerana ia mengisahkan pasangan suami isteri yang berdepan ujian alam rumah tangga hingga membawa kepada perceraian. “Masyarakat kita hari ini banyak berdepan perceraian. Jadi, kisah drama ini  sebagai satu kesedaran untuk masyarakat,” katanya.

Watak berhijab tidak memberi masalah kepada Diana tetapi dia berharap peminat tidak keliru kerana penampilannya itu sekadar menghidupkan watak.

“Belum sampai seru lagi. Insha Allah saya berdoa agar dibukakan pintu hati untuk ke arah itu satu hari nanti,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.