45 Keluarga Alami Detik Cemas, Rumah Dinaiki Air Hingga Paras Lutut

Kuala Nerus – Kira-kira 45 keluarga di Taman Desa Tanjung Damai di Kuala Nerus menempuh detik cemas apabila kediaman mereka dinaiki air semalam.

Kesemua mangsa dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, kira-kira 4.30 petang tadi selepas laluan utama kediaman mereka dinaiki air sehingga paras lutut.

Mangsa Zurawati Abdullah, 40, berkata ketika sampai di rumah kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi, dia terkejut melihat air bertakung di hadapan kediamannya itu.

Bimbang keadaan bertambah buruk, beliau bersama-sama suaminya mula memindahkan barangan berharga dan tidak sampai dua jam, air semakin naik.

“Tidak sampai dua jam, laluan utama rumah kami semakin teruk dan kami mengambil keputusan berpindah ke pusat pemindahan,” katanya kepada Bernama.

Seorang lagi mangsa, Che Kuza Engku Yusoff, 29, berkata dia terkejut selepas menerima khidmat pesanan ringkas daripada rakannya memaklumkan bahawa kawasan rumah mereka dinaiki air.

Panik selepas menerima berita tersebut, dia menelefon suaminya dan bergegas pulang ke rumah kira-kira 4.30 petang dan mendapati laluan masuk ke rumah dinaiki air sehingga ke paras lutut.

“Saya terus pulang ke rumah dan menyelamat dokumen penting sebelum berpindah ke pusat pemindahan,” katanya.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui laman sesawang
etindakan.terengganu.gov.my memaklumkan bahawa amaran hujan lebat peringkat jingga telah dikeluarkan di Terengganu.

Hujan lebat dijangka berterusan malam ini melibatkan daerah Dungun, Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman.

Dua sungai di Setiu iaitu Sungai Chalok di Jambatan Chalok dan Sungai Nerus, Kampung Langkap, pula berada pada paras bahaya, masing-masing mencatat paras 9.58m dan 22.58m.

Banjir di Pasir Puteh

Sementara itu, di Pasir Puteh, sejumlah 25 orang daripada lima keluarga dari Kampung Tasek dan Kampung Gong Keding, Bukit Awang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Pasir Puteh, Wan Baijuri Wan Hassan berkata pusat pemindahan berkenaan dibuka pada pukul 7 malam tadi bagi menempatkan penduduk terbabit.

“Kampung berkenaan dinaiki air 1.5 meter akibat limpahan air sungai Petai dan Sungai Jertih berikutan hujan yang berterusan sejak beberapa hari lalu,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Beliau berkata kedua-dua kampung berkenaan yang terletak di kawasan rendah dan berdekatan dengan sungai mudah dinaiki air.

Wan Baijuri berkata pihaknya bersama agensi kerajaan lain termasuk polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) terus membuat pemantauan berikutan hujan yang kadang kala lebat masih berterusan.

– Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.