2 Lelaki AS Diburu, Curi Kepala Bayi Dalam Muzium

Bangkok – Pihak berkuasa Thailand memburu dua lelaki warga Amerika Syarikat (AS) berhubung penemuan beberapa bahagian badan bayi yang dipercayai dicuri dari sebuah muzium perubatan di dalam lima kiriman kurier yang dialamatkan ke AS.

Dua lelaki berusia 31 dan 33 tahun itu dipercayai telah melarikan diri ke Kemboja kelmarin selepas sebuah syarikat perkhidmatan kurier mengesan satu kepala bayi, kaki dan kulit manusia ketika pemeriksaan terhadap kiriman tersebut.

Anggota badan itu dijumpai di dalam beberapa kotak yang diisytiharkan sebagai koleksi kereta api antik.

Ketika ditemui, semua anggota badan berkenaan diletakkan di dalam satu bekas yang mengandungi cecair bahan kimia formaldehid iaitu bahan yang sama yang digunakan untuk mengawet anggota badan manusia di Muzium Perubatan Siriraj di sini.

Timbalan Ketua Polis Negara Thailand, Ruangsak Jritake berkata, kotak berkenaan dialamatkan ke Las Vegas di negeri Nevada, AS dan pihaknya telah meminta bantuan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) untuk menyiasat lokasi dikirimkan.

“Kemungkinan anggota badan manusia ini telah dicuri kerana pihak muzium melaporkan bahawa beberapa bahan pameran mereka telah hilang,” katanya.

Menurutnya, kotak-kotak ber­kenaan mengandungi satu kaki, tengkorak, muka dan jantung bayi termasuk sekeping kulit yang mempunyai tatu bercorak naga.

“Rakaman kamera keselamatan di muzium tersebut berjaya merakamkan dua lelaki asing berada di lokasi kejadian ketika anggota badan berkenaan hilang,” katanya.

Media tempatan melaporkan bahawa kedua-dua lelaki itu telah disoal siasat kelmarin tetapi dibebaskan oleh polis selepas mereka mendakwa membeli anggota badan berkenaan.

Bagaimanapun, polis memanggil balik dua lelaki tersebut untuk siasatan lanjut kerana disyaki melanggar peraturan kastam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.