15 Keluarga Mangsa Banjir Dipindahkan Ke SK Chendering

Kuala Terengganu – Seramai 55 orang daripada 15 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan di daerah Kuala Terengganu tengah hari ini, berbanding 47 orang pagi tadi, berikutan banjir di kawasan mereka.

Portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu menyatakan seramai 17 orang daripada lima keluarga dipindahkan ke Dewan Sivik Gong Badak, manakala 38 orang dari 10 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Chendering.
“Bantuan makanan, selimut dan lain-lain keperluan telah diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mangsa banjir dan semua agensi bekerjasama dalam mengendalikan operasi pemindahan termasuk pejabat daerah, Polis DiRaja Malaysia, Bomba, Rela dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu.
“Semua jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dengan bencana banjir telah bersedia dengan sebarang kemungkinan,” kata pemangku Setiausaha MKN Terengganu, Roslina Ngah dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, rekod taburan hujan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu menunjukkan bacaan purata antara enam hingga 119 milimeter dengan hujan lebat di kebanyakan tempat di negeri ini.
“Kesemua sungai utama di seluruh negeri juga masih berada di paras normal kecuali Sungai Chalok di Setiu yang menunjukkan paras bahaya 8.48 meter berbanding paras normal 5 meter.
“Selain itu Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu juga berada di paras amaran setinggi 20.84 meter berbanding paras normal 17 meter setakat 12 tengah hari tadi,” kata Roslina.
Beberapa pusat pemindahan akan dibuka di sekitar daerah Kuala Terengganu sekiranya hujan lebat berterusan hingga menyebabkan banjir.
Semua jalan raya masih boleh dilalui seperti biasa walaupun beberapa jalan utama dinaiki air, katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.