Arau – Berteraskan pendidikan yang lebih inklusif kepada golongan yang memerlukan, Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Autism Hub for Educational Resources & Training (A-HEART) Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dan Yayasan Tuanku Syed Putra telah menaiktaraf Pembangunan Fasiliti Terapi Open Gym di Hab A-HEART dalam meningkatkan kesejahteraan golongan autism dengan bertemakan Sejahtera & Lestari.
Projek Pembangunan Fasiliti Terapi Open Gym di Hab A-HEART yang bertempat di Aras Dua, Bangunan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) merupakan fasiliti terapi anak-anak autistik yang berkonsepkan ekosistem dan persekitaran kehidupan seharian yang dilalui oleh anak-anak autistik dan berkeperluan khas.
A-HEART telah memulakan perancangan pembangunan Open Gym sejak September 2023 melalui kerjasama dengan YBR dan Pusat Terapi Senze for Mindz di Kangar, Perlis. Inisiatif ini meliputi pemilihan peralatan terapi bersesuaian dengan keperluan anak autistik dan anak-anak berkeperluan khas.
DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail selaku Canselor UniMAP telah mencemar duli ke Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) di UniMAP hari ini bagi merasmikan inisiatif ini.
Turut hadir di dalam majlis perasmian bagi menyokong usaha dalam meningkatkan pendidikan dikalangan golongan istimewa, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Menurut Syaiful Rizal,“Penyediaan pembangunan fasiliti yang baik merupakan sebahagian daripada hasrat YBR untuk memastikan anak-anak autistik dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan selesa dan selamat serta membantu dalam mengembangkan potensi dikalangan kanak-kanak istimewa”.

Tambah beliau lagi, “Selain itu, fasiliti yang dibangunkan di Open Gym ini juga secara tidak langsung menjadi platform kepada anak-anak istimewa mengembangkan potensi diri dan boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa atau penjaga untuk membantu anak-anak autistik meneroka dan meningkatkan keupayaan deria, kognitif dan pergerakan motor atau fizikal”.
Jelas Syaiful Rizal lagi, kerjasama ini merupakan langkah positif bagi memastikan anak-anak autism mendapat kemudahan pembelajaran yang baik dan kondusif juga, dapat memberikan peluang kepada anak-anak autistik ini untuk mengikuti sesi pembelajaran dengan penyediaan keperluan yang lebih lengkap dan dapat menerima intervensi terapi secara berkesan dan lestari.
Diharapkan sokongan berterusan dari semua pihak terutamanya daripada ibu bapa, keluarga dan masyarakat menjadikan mereka lebih berdaya saing serta memotivasikan mereka untuk mengikuti sesi pembelajaran yang lebih sempurna dan selesa.
Untuk makluman pihak media, bagi tahun 2024, YBR telah memperuntukan sebanyak RM13.4 juta melalui inisiatif Program Pembangunan Pendidikan.
YBR turut berharap dengan penganjuran program seperti ini dapat memberi satu impak yang besar kepada usaha untuk membantu masyarakat istimewa dan memberi kesedaran bahawa organisasi luar turut mengambil berat serta sedaya upaya mempelbagai bantuan dan aktiviti kepada yang memerlukan.