India setuju eksport beras ke Malaysia – Mohamad Sabu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – India akan membenarkan Malaysia mengimport 170,000 tan metrik beras putih bukan basmathi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataan pada Khamis berkata, beliau mewakili kementeriannya serta Kerajaan Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan India kerana telah menarik balik larangan eksport beras putih selain basmathi ke atas Malaysia.

“Melalui Note Verbale yang saya terima pada hari ini, Kerajaan India telah bersetuju untuk membenarkan Malaysia mengimport 170,000 tan metrik beras putih bukan basmathi .

“Pada 25 Ogos 2023, saya telah menghantar surat permohonan kepada Mr Piyush Goyal, Menteri Hal Ehwal Pengguna, Makanan dan Pengedaran Awam India untuk menarik balik sekatan eksport beras putih selain basmathi ke atas Malaysia.

“Manakala pada 27 September 2023 saya telah mengadakan perbincangan bersama BN Reddy, Duta Besar India Di Malaysia berhubung permohonan ini,” katanya.

Menurut Mohamad lagi, kebenaran yang diberikan ini menunjukkan Malaysia dan India mempunyai hubungan yang sangat rapat dan baik khususnya dalam bidang pertanian, penyelidikan, latihan dan keterjaminan makanan.

Pada Julai lalu, India melarang eksport beras putih bukan basmathi untuk mengekang kenaikan harga beras dalam pasaran domestik.

Hujan lebat menjejaskan tanaman di negara itu dengan harga beras meningkat lebih 11 peratus sejak 12 bulan lalu.

Beras putih bukan basmathi menyumbang kira-kira satu perempat daripada eksport beras India, kata Kementerian Hal Ehwal Pengguna ketika mengumumkan larangan tersebut.

Bagaimanapun, beberapa pakar memberi amaran bahawa langkah itu boleh menyebabkan harga makanan global meningkat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat