“Selagi Ada Kudrat, Selagi Itu Saya Berusaha” – Haryani

“TIDAK pernah terlintas dalam fikiran untuk meminta derma orang ramai sebaliknya, saya usaha melalui perniagaan kecil-kecilan yang dijalankan menerusi dalam talian,” kata Haryani Mat Hussin, 40.

Menurutnya, pendapatan suaminya, Mohd Tarmizi Mustafa tidak seberapa menerusi perniagaan kecil-kecilan.

Katanya, dia pula terpaksa menjual karipap, serunding dan popia mini untuk pendapatan tambahan bagi rawatan anaknya.

“Perniagaan sekarang agak perlahan, jadi saya berdoa ada insan sudi membeli produk saya. Selagi kudrat ada, selagi itulah saya dan suami berusaha,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, tular mengenai hantaran yang dibuat Haryani menerusi akaun Facebook miliknya mengenai jualannya itu.

Menerusi hantaran itu, Haryani minta orang ramai dapat menyokong dan sudi membeli hasil jualannya itu.

Menurutnya, setiap pembelian itu sangat bermakna untuk anak perempuannya, Ana Sufiyyah Mohd Tarmizi, 6, yang mengidap ‘golden har syndrome’ iaitu cacat pada cuping telinga.

Katanya, setiap pembelian itu boleh dibayar ke akaun Maybank miliknya, 563046315162.

Mengenai keadaan Ana, Haryani yang mempunyai lapan anak berkata, telinga anaknya itu mempunyai lubang kecil tetapi tiada cuping pada telinga kiri.

“Ia membuatkan pendengaran Ana kurang jelas. Dia juga turut mengidap ‘horse shoe kidney’ apabila hanya mempunyai satu saluran menyambung kedua-dua buah pinggang.

“Berbanding mereka yang normal, terdapat dua saluran dan jika salah satu buah pinggang rosak, satu lagi boleh digunakan tetapi tidak bagi Ana yang boleh menyebabkan kedua-dua rosak jika berlaku sesuatu ke atas organ itu,” katanya.

Ketika berkongsi kisah itu, Haryani berkata, Ana yang juga anak keenamnya mengalami masalah itu sejak lahir dan memerlukan bantuan pakar luar negara untuk mengesan punca penyakit yang dihidapinya.

Menurutnya, doktor yang merawatnya memaklumkan ujian darah perlu dijalankan dan dihantar ke luar negara untuk mengesan punca masalah ‘golden har syndrome’ itu.

“Saya diberitahu kepakaran bagi mengesan masalah itu tidak ada di negara kita, sebaliknya saya perlu menyediakan RM3,000 hanya untuk menghantar darah ke luar negara sekali gus boleh mengesan punca dia (Ana) mengalami masalah terbabit,” katanya yang menetap di Pasir Puteh, Kelantan. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.