Dr Mahathir Nafi Terlibat atau Benarkan Komik Propaganda Pro DAP Diedar Ke Sekolah

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak pernah memberikan persetujuan supaya gambar beliau digunakan dalam penerbitan komik propaganda pro DAP berjudul ‘Inisiatif Jalur Dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama’.

Memetik laporan BH dan Sinar Online, Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi satu kenyataan rasmi malam tadi memaklumkan, Dr Mahathir juga tidak pernah memberi sebarang kebenaran supaya komik propaganda itu diedarkan ke sekolah.

Kenyataan PMO itu turut menjelaskan Dr Mahathir tidak terbabit dalam penerbitan buku itu serta langsung tidak mengetahui isi kandungannya malah menafikan komik tersebut dijadikan hadiah rasmi kepada Presiden China, Xi Jinping.

“Tertera gambar Dr Mahathir dalam komik berkenaan dengan keterangan yang menyebut komik ini dihadiahkan kepada Presiden Xi Jinping oleh Perdana Menteri sendiri semasa pertemuan dua hala sewaktu di Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa kedua.

“Pejabat Perdana Menteri ingin memaklumkan bahawa buku ini bukan hadiah rasmi semasa pertemuan tersebut dan ia dibawa tanpa melalui prosedur dan saluran yang betul,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, pendedahan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pengedaran komik propaganda pro DAP itu membangkitkan kritikan pelbagai pihak yang senada mengecam tindakan pihak berkaitan mengedarkan komik berkenaan di sekolah.

Dalam pendedahannya Rabu lalu, Najib mempersoalkan samada komik propaganda pro DAP yang diedarkan di sekolah itu mendapat kebenaran Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik atau sebaliknya.

“Maszlee dah bagi kebenaran ke? Muzium Kebudayaan Komik Asia di Komtar yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang di mana bossnya adalah Superman Hew Kuan Yau, sedang menyebarkan komik propaganda kepada sekolah-sekolah menengah kebangsaan dan jenis kebangsaan.

“Propaganda dalam komik ini mengagung-agungkan parti DAP, memberi bayangan bahawa kerajaan Malaysia hipokrit dalam layanan kepada komunis dan memburuk-burukkan kerajaan lama serta saya dan keluarga saya, adakah ini dasar pendidikan #MalaysiaBaharu?,” soal Najib.

Sementara itu, Kurator Muzium Kebudayaan Komik Asia, Hew Kuan Yau yang juga pemimpin politik pro DAP mendakwa komik tersebut sebagai sebagai bahan bacaan yang “wajar” dan tiada masalah untuk ia diedarkan di sekolah menengah.

“Pihak muzium bercadang mengirimkan 2,500 naskah versi bahasa Melayu untuk ditempatkan di perpustakaan sekolah supaya boleh dibaca pelajar,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pendidikan dalam kenyataannya menafikan ada memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk mengedarkan komik itu ke sekolah di seluruh negara.

“Saya ingin menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak pernah mengeluarkan kebenaran dan kelulusan untuk pengedaran Buku Komik ini kepada institusi pendidikan termasuk sekolah.

“Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah telah diarahkan untuk memastikan semua sekolah tidak menerima dan membuat edaran buku komik ini daripada mana-mana pihak atau pembekal,” kata Dr Maszlee.

Manakala Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pula dilaporkan berkata pihaknya telah mengenal pasti pihak terbabit termasuk pengarangnya, dan berjanji akan mengambil tindakan tegas. – SuaraTV.

Lain-lain berita hangat;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.