Zahid Dibenar Ikat Jamin RM2 Juta

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dibenarkan bebas dengan jaminan RM2 juta atas 45 pertuduhan  pecah amanah, menerima wang rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM100 juta.

Hakim Azura Alwi membenarkan jaminan tersebut dibayar secara ansuran iaitu RM1 juta dibayar hari ini dan bakinya diselesaikan dalam tempoh seminggu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut diperintahkan menyerahkan pasport sebagai syarat jaminan.

Mahkamah menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan kes. 

Terdahulu, Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 10 pertuduhan pecah amanah dengan jumlah tertinggi RM17 juta, di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, serta 8 lagi pertuduhan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah bagi pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.

Baki 27 pertuduhan lagi berkaitan pengubahan wang haram yang berjumlah RM72 juta, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Pertuduhan rasuah itu termasuk dakwaan peranannya dalam perkhidmatan penyumberan luar Kementerian Dalam Negeri yang dikaitkan dengan MyEG Services Sdn Bhd, dakwaan menerima wang daripada seorang pengarah Data Sonic Group Bhd untuk membekalkan 12.5 juta cip bagi pasport Malaysia dan melantik sebuah syarikat mengendalikan sebuah pusat sehenti di Pakistan serta Nepal bagi memproses visa kerja.

Pertuduhan pecah amanah pula didakwa dilakukan antara Januari 2014 hingga Mac 2018, kesalahan di bawah Akta SPRM itu antara Julai 2016 dan Mac 2018, manakala pengubahan wang haram sejak 27 Mac 2016. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.