Zahid Bakal Didakwa Lebih 30 Pertuduhan?

PUTRAJAYA – Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, dikatakan bakal berdepan dengan lebih 30 pertuduhan melibatkan lebih RM70 juta.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu disyaki menerima wang daripada kontraktor yang ada hubungan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di mana beliau menjawat jawatan menteri di kementerian itu sebelum ini.

Menurut sumber kepada Sinar Harian, Ahmad Zahid turut berdepan dakwaan berhubung siasatan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akal Budi.

Semalam, SPRM dalam satu kenyataan berkata, penahanan dibuat setelah mendapat izin mendakwa daripada  Pejabat Peguam Negara.

Penahanan dibuat pada jam 3.15 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM, di sini.

“Susulan itu, Ahmad Zahid akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” kata kenyataan tersebut.

Ahmad Zahid akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, jam 8 pagi hari ini untuk pertuduhan tersebut.

Terdahulu, Ahmad Zahid menerima notis untuk serah diri kelmarin, dan tiba di Ibu Pejabat SPRM tepat jam 3 petang semalam.

Beliau yang berbaju batik tiba menaiki kenderaan SUV Lexus putih kelihatan ceria dan sempat melambai ke arah kumpulan media yang menunggu di lobi pejabat suruhanjaya berkenaan.

Kira-kira 30 penyokong beliau berada di luar pagar memberikan sokongan.

Ahmad Zahid sebelum ini telah lima kali hadir memberi keterangan berhubung salah guna dana milik Yayasan Akal Budi.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan secara eksklusif seorang bekas menteri kanan menyalah gunakan kuasanya dan pecah amanah terhadap dana sebuah yayasan.

KRONOLOGI

18 Oktober:

Selepas lima kali membantu siasatan, Ahmad Zahid ditahan SPRM kira-kira jam 3.15 petang di ibu pejabat suruhanjaya itu berhubung siasatan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan.

SPRM melalui kenyataan media hari ini berkata, penahanan itu dibuat setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

17 Oktober:

Ahmad Zahid menerima notis serah diri daripada SPRM

12 Oktober:

Tujuh perkara diperjelaskan oleh Ahmad Zahid kepada SPRM sepanjang dipanggil memberi keterangan kali ke lima di ibu pejabat suruhanjaya itu.

Perkara itu menjadi bahan kepada siasatan yang dijalankan SPRM terhadapnya.

11 Oktober:

Ahmad Zahid dipanggil buat kali keempat di SPRM.

Menantunya iaitu Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff turut diambil keterangan untuk siasatan kes sama.

10 Oktober:

Ahmad Zahid dipanggil ke SPRM Putrajaya kali ketiga dan memberi keterangan selama lebih lapan jam.

3 Julai:

Ahmad Zahid berkata beliau sudah selesai memberi keterangan kepada SPRM berhubung dakwan menyeleweng RM800,000 wang milik yayasan untuk membayar kad kredit miliknya dan isteri.

Katanya, dalam sesi hampir lapan jam itu ia berlangsung sangat harmonis dan profesional.

2 Julai:

Ahmad Zahid tiba di perkarangan Ibu Pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi.

Beliau tiba jam 9.50 pagi memakai kemeja batik berwarna ungu kelihatan ceria menyapa dan bersalaman dengan petugas media.

30 Jun:

Sinar Hairan secara eksklusif melaporkan seorang pemimpin tertinggi Umno akan dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM berkaitan kes penyelewengan wang milik sebuah yayasan.

Beliau adalah menteri kanan di dalam Kabinet bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.