Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, projek RTS adalah lebih penting berbanding cadangan meneruskan pembinaan jambatan bengkok yang jelas bukan sahaja satu pembaziran, malah tidak akan membawa faedah kepada negeri ini.

Selain itu, tambahnya, BN Johor berpendapat, pembinaan jambatan ketiga juga adalah lebih sesuai daripada pembinaan jambatan bengkok.

“Jambatan bengkok tidak membawa faedah lagi kepada Johor selain merupakan satu pembaziran. Kita tertanya-tanya mengapa cadangan seperti itu dibangkitkan semula sedangkan kerajaan Pusat mengatakan kedudukan kewangan negara tidak baik,” katanya da­lam satu kenyataan di sini hari ini.

Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, BN Johor juga berpendapat, kerajaan sewajarnya melihat semula projek keretapi berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang ditangguhkan.

Menurutnya, projek HSR itu yang mampu memberi banyak manfaat kepada rakyat negara ini dan Johor sepatutnya turut diberikan keutamaan dalam sebarang usaha menambah baik rangkaian perhubungan jalan raya dengan Singapura.

“Kita semua sedia maklum bahawa segala perkara berkaitan jambatan dengan Singapura itu perlu mendapat persetujuan bersama. Jadi, apa yang membuatkan Menteri Besar yakin mereka akan bersetuju dengan jambatan bengkok?” katanya. – UTUSAN ONLINE