Terserah Pada JHEAT Buat Keputusan Berkaitan Larangan Dr Asri Ceramah Di Terengganu – Exco

KUALA TERENGGANU — Kerajaan Terengganu tidak akan campur tangan berhubung larangan yang pernah dikeluarkan terhadap Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin untuk mengadakan ceramah di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak berautoriti iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk membuat keputusan terbaik berkaitan perkara itu setelah larangan dikeluarkan sejak Julai 2016.

“Setakat ini, saya tiada maklumat baharu tentang senarai hitam penceramah di Terengganu dan saya rasa keterbukaan kerajaan negeri setakat ini berasaskan kepada suasana yang ada.

“Namun kerajaan negeri serahkan perkara ini kepada pihak beratutoriti untuk membuat keputusan mengenainya kerana mereka sudah tentu menyelidik dan menyiasat sesiapa sahaja penceramah bagi memastikan adanya kesatuan pemikiran dan tidak timbul kecelaruan dalam pemikiran rakyat Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Muzakarah Perundangan Islam Negeri Terengganu 2018 di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. Turut hadir Mufti Terengganu, Datuk Dr Zulkifly Muda dan Yang Dipertua Maidam Datuk Osman Muda.

Pada 16 Julai 2016, Terengganu mengikut jejak langkah negeri Johor apabila mengeluarkan larangan ke atas Mohd Asri daripada mengadakan ceramah di negeri ini berkuat kuasa serta merta.

Larangan itu berdasarkan sepucuk surat bertarikh 5 Julai 2016 yang ditandatangani Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu selaras dengan Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Tauliah (Terengganu) 2013.

Bagaimanapun, surat tersebut tidak menyatakan sebab atau alasan larangan itu dikeluarkan ke atas Mohd Asri.

Larangan itu turut dikenakan ke atas sesiapa sahaja agar tidak mengundang Mufti Perlis itu sebagai penceramah dalam sebarang program di negeri ini. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.