Siasat Segera Dakwaan MyPPP Terima RM36 Juta

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan Tan Sri M Kayveas bahawa sejumlah RM36 juta diberikan kepada parti itu tahun ini.

Datuk Dr Logan Bala Mohan yang mengaku menjadi jurucakap MyPPP versi Presiden Datuk Seri Maglin D’Cruz berkata, ahli parti berhak mengetahui aliran tunai wang itu dan semua bentuk perbelanjaan yang menggunakan wang terbabit.

Kayveas turut mengaku menjadi Presiden MyPPP dan jawatan itu masih dalam pertikaian undang-undang.

“Kami mahu beliau (Kayveas) secara terbuka mendedahkan nama enam individu yang dikatakan menerima wang berkenaan dan jumlah sebenar yang diterima mereka.

“Kami di MyPPP tidak pernah melihat, mendengar atau menerima sebarang dana dengan jumlah RM36 juta itu seperti diberitahu beliau,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel di sini, hari ini.

Loga Bala berkata, pihaknya sudah membuat sembilan laporan polis selain laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berkenaan.

“Kami mahu pihak berkuasa menyiasat sumber dana ini yang dipercayai dijadikan sebagai langkah terdesak Kayveas untuk mengalihkan siasatan SPRM ke atasnya,” katanya.

Semalam, Kayveas dipanggil SPRM untuk disoal siasat berhubung dana berkaitan 1Malaysian Development Berhad (1MDB) yang dipindahkan UMNO kepada partinya.

Kayveas dilaporkan memberitahu SPRM terdapat enam individu yang bertanggungjawab menerima dana berkenaan berjumlah RM36 juta.

Seorang lagi wakil MyPPP, Datuk Simon Sabapathy berkata, seorang pegawai SPRM menghubunginya meminta dokumen kewangan berkenaan.

“Mereka (SPRM) sedang meneliti dana yang dipindahkan dari UMNO ke MyPPP masa beliau (Kayveas menjadi presiden).

“Saya memaklumkan bahawa jika terdapat sebarang dokumen, ia ada di ibu pejabat parti atau unit simpanan di Subang di mana barang milik Kayveas disimpan sejak beliau diusir,” katanya.

Simon berkata semua urusan kewangan parti dan dokumen yang berkaitan dikendalikan oleh pembantu peribadi Kayveas.

Parti MyPPP berpecah kepada dua kumpulan susulan pertikaian pucuk pimpinan yang masing-masing mahu mengawal parti berkenaan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.