PM Nafi Cadang Semula Jambatan Bengkok, MB Johor Kata Dr Mahathir Yang Mahu

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau yang membangkitkan kembali cadangan membina Jambatan Bengkok menghubungkan Malaysia dengan Singapura.

Memetik laporan portal berita BH dan FMT, Dr Mahathir mendakwa cadangan tersebut datang dari kerajaan Johor.

“Mereka (kerajaan Johor) cakap mahu membina jambatan bengkok tetapi ada pihak lain pula kata tidak mahu jambatan bengkok. Cadangan ini datangnya daripada kerajaan negeri.

“Untuk pembinaan jambatan ketiga kena minta kebenaran daripada Singapura tetapi Singapura mungkin tak benarkan kerana pembinaan jambatan bengkok langsung tidak membabitkan Singapura.

“Jadi, kita boleh bina jambatan bengkok pada bila-bila masa, namun bagi jambatan ketiga (kita) kena minta (kebenaran) Singapura,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen selepas pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (KSP RMK-11) semalam.

Selasa lalu, portal berita Astro Awani melaporkan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata cadangan meneruskan semula projek Jambatan Bengkok dibangkitkan sendiri oleh Dr Mahathir.

“Ia kehendak Tun (Dr Mahathir) di mana dulu dia suruh Tun Abdullah Ahmad Badawi tak mahu buat, Datuk Seri Najib Razak tak mahu buat.

“Saya kata terpulang Tun, ini idea Tun. Jika Tun mahu jambatan diteruskan saya hanya ikut,” kata MB Johor itu kepada wartawan di lobi Parlimen Selasa lalu.

Cadangan meneruskan projek itu bagaimana pun menerima reaksi negatif dengan kebanyakan pengguna media sosial (netizen) menyifatkan sebagai satu pembaziran dan tidak selari dengan kenyataan rasmi kerajaan yang mendakwa kedudukan kewangan negara dalam keadaan lemah.

“Kewangan ckup x? da la kate 5 bulan ni terkesan dgn kewangan rm450 JUTA shj,” kata Rafiq Yusop secara sinis merujuk kepada kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa kerajaan mengharungi tempoh 5 bulan yang mencabar berbekalkan RM450 juta sahaja.

“Oooo…. rupanya diteruskan kerana kehendak Mahathir,” kata Syafiq Zahril di ruangan komen laman Facebook Astro Awani.

“Ekonomi rakyat sekarang tengah bengkok dgn harga kelapa sawit dan getah , Lagi mau buat jambatan,” ujar Aza Mat Zin pula.

“Bukan kata hutang tinggi ker? Brim pun nak kena hapus. Apa pasal jambatan boleh buat,” soal Khairy Khalid di ruangan komen yang sama Selasa lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Rabu lalu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpendapat, adalah lebih bagus menambah baik perkhidmatan kesihatan di negeri ini berbanding merancang membina semula jambatan bengkok ke Singapura.

“Naikkan peruntukan yang lebih untuk kesihatan di Johor. Semua hospital di daerah Johor Bahru termasuk di daerah-daerah perlukan lebih banyak katil dan kemudahan perubatan.

“Ini hanya pendapat saya yang ikhlas dan jujur,” kata TMJ dipetik dari laman Twitter baginda. – SuaraTV

 

.

 

 

One thought on “PM Nafi Cadang Semula Jambatan Bengkok, MB Johor Kata Dr Mahathir Yang Mahu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.