Badan Pemikir: Putrajaya Patut Fikir Kurangkan Perbelanjaan Operasi

PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir memberi amaran mengenai tanda perancangan fiskal kerajaan mungkin menuju arah salah dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) berkata, kajian yang dibentangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen semalam, memfokuskan cukai dan kenaikan kos bagi perniagaan.

Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Ideas, Laurence Todd berkata, kerajaan sepatutnya menumpukan pengurangan perbelanjaan operasi yang sentiasa tinggi.

“Secara keseluruhannya, ia mengecewakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan sudah membincangkan pelaksanaan cukai baru digital bagi transaksi atas talian dan menaikkan cukai dan hasil bukan cukai, seperti lesen, permit, yuran dan sewa.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu menjelaskan bentuk cukai digital yang akan memberi kesan kepada sektor ekonomi.

Todd menyambut baik pembaharuan untuk meningkatkan pengawasan dan prestasi syarikat berkaitan kerajaan, tetapi kecewa kerajaan tidak mencadangkan pembaharuan lebih radikal seperti mengurangkan pemilikan aset dan ekuitinya secara ketara.

Katanya, ini boleh meningkatkan hasil dan merangsang pertumbuhan sektor swasta.

Mengenai cadangan mengurangkan perbelanjaan pembangunan, beliau menyarankan kerajaan memfokuskan penambahbaikan lembaran imbangannya “untuk meningkatkan hasil dan mengekalkan keseluruhan pelaburan awam”.

Beliau bagaimanapun memuji kerajaan mengenal pasti banyak “cabaran betul”, termasuk keperluan untuk meningkatkan modal insan dan menangani jurang pendapatan.

“Kerajaan sedang melakukan pembaharuan membina dalam isu-isu ini.” – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.