Video : ‘Dia Marah, Kata Saya Perempuan Bodoh’

KUALA LUMPUR – Tular di media sosial rakaman video dua orang lelaki bergaduh dengan beberapa penduduk di kawasan Flat Seri Perak semalam selepas kereta yang dinaiki mereka bergesel dengan beberapa buah kereta yang diletakkan di tepi jalan.

Menerusi muat naik video berdurasi hampir tiga minit oleh mangsa, Erziati Erni, di laman Facebook telah menunjukkan dua lelaki yang bukan penduduk di kawasan itu yang juga dipercayai mabuk, bergaduh dengan abang ipar mangsa dan beberapa penduduk di situ yang cuba menghalangnya dari bertindak agresif.

Menurut Erziati, pemandu kereta jenis pacuan empat roda itu telah mencalarkan keretanya.

“Kereta saya kena gesel. Dia marah dan kata saya perempuan bodoh sebab letak kereta di situ. Saya pandang sekeliling, semua orang pun letak kereta di situ. Itu perkara biasa di kawasan perumahan Flat Seri Perak ini. Tetapi bila manusia tak normal (mabuk), benda boleh diselesaikan secara baik pun boleh jadi kes besar.

“Dia cuba keluar dari simpang dan gesel kereta saya. Saya hanya buka tingkap dan kata, “Kalau tak lepas, bagi saya alihkan kereta dulu”. Tetapi dia memaki hamun saya dan kata saya perempuan bodoh sebab letak kereta di situ. Sedangkan saya berada dalam kereta menunggu anak-anak saya turun dari rumah abang ipar,” tulisnya.

Kemudian, seorang lelaki berbaju hitam meminta Erziati berganjak ke hadapan, namun hanya sedikit pergerakan sahaja yang dapat dilakukan.

“Terus saya keluar dari kereta dan kata, You dah gesel kereta saya. Terus lelaki baju hitam itu merakam video dan nombor kereta saya konon nak viralkan. Siap menjerit-jerit kata saya perempuan bodoh berulang kali. Tetapi saya senyap saja dan menegurnya.

“Saya tak cakap pun awak bodoh. Tak apalah, cakaplah apa yang you nak cakap. Saya cuma nak ambil gambar nombor plat kereta wak saja.

Mendengar kata-kata Erziati, lelaki itu mula rasa tercabar sebelum pemandu kereta itu keluar dan mula membuat provokasi dan mengugut mangsa untuk viralkan muka dan nombor kereta milik mangsa.

Bagaimanapun, tambah Erziati, abang iparnya turun untuk membantu menyelesaikan masalah yang timbul.

Malangnya berlaku sedikit pergaduhan sebelum berjaya dileraikan oleh orang ramai.

“Tetapi yang tak puas hatinya, sebelum mereka beredar, boleh pula lelaki yang berbaju hitam itu sembur debu pemadam api pada semua orang yang berada di situ, lalu memecut laju. Habis putih melepak semua orang yang membantu saya tadi,” katanya.

Sehubungan kejadian itu, Erziati membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Terima kasih kepada mereka yang membantu saya. Benar saya perempuan dan seorang diri, jika penduduk di sini tidak mengambil peduli, terkial-kial saya nak selesaikan seorang diri. Terima kasih kepada penduduk Blok 33 Perumahan Seri perak, Bandar Baru Sentul,” tulisnya mengakhiri statusnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.