Saya Tak Tiru Faizal Tahir – Amir

KUALA LUMPUR: Menjadikan penyanyi, Faizal Tahir, sebagai idola dalam bidang nyanyian, Amir Masdi, 21, menafikan beliau terlalu terikut-ikut cara persembahan penyanyi lelaki itu.

Juara program Akademi Fantasia (AF) 2016 itu bagaimanapun berkata, beliau masih tercari-cari identiti tersendiri untuk bertapak dalam industri seni, selain mencuba sebaik mungkin untuk mengikis imej keanak-akan yang dimilikinya.

“Jujur saya akui memang meminati Faizal Tahir, tetapi tidaklah sehingga ingin meniru beliau sepenuhnya apabila berada di pentas nyanyian. Malah, saya cuba untuk menyanyi dengan cara saya tersendiri dan tidak mengikut mana-mana artis sedia ada.

“Mungkin secara kebetulan saja apabila ada yang berasakan wujudnya persamaan itu kerana saya sebaik mungkin cuba mempersembahkan lagu yang diberikan dengan cara tersendiri. Saya masih baharu dan tercari-cari haluan dalam bidang seni.

“Masih banyak yang perlu saya pelajari sebenarnya. Pada masa sama, semestinya saya kecewa kerana gagal layak ke peringkat akhir AF Megastar,” katanya kepada BH Online.

Minggu lalu, selain dirinya, turut terkandas pada peringkat separuh akhir ialah Amir Jahari.

Mendendangkan lagu Kullul Hubbi (nyanyian asal Mu’adz Dzulkefly, Noh Salleh, Faizal Tahir dan Aizat Amdan) dan Dirgahayu (Datuk Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir), Amir gagal menambat hati juri dan pengundi.

Berkongsi mengenai perkembangan terkini, Amir merancang untuk mengeluarkan single kedua, penghujung tahun ini.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.