Polis Nafi Ada Insiden Pergaduhan Di Tambun

IPOH – Tiada sebarang insiden pergaduhan di Tambun di sini, sehingga menyebabkan seorang lelaki putus tangan sebagaimana video yang tular di laman sosial pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata gambar serta komen netizen yang mendakwa pergaduhan itu berlaku antara kaum Melayu dan Cina tidak benar sama sekali dan sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima tentang kejadian tersebut.

Mengulas mengenai satu lagi video tular berhubung pergaduhan di Ipoh Garden, Chang Keong berkata pihaknya telah menerima dua laporan polis mengenai kejadian itu.

“Bagi laporan pertama, seorang wanita membuat laporan Ahad lalu kira-kira 1.30 pagi mengatakan dia dipukul sekumpulan lelaki dan seorang perempuan di hadapan sebuah bank kerana dituduh mengganggu seseorang.

“Akibat kejadian itu, wanita tersebut mendapat kecederaan di jari, kepala dan kaki,” katanya dalam kenyataan.

Chang Keong berkata bagi laporan kedua, seorang lagi wanita mendakwa dipukul 10 lelaki dan empat perempuan di hadapan sebuah pusat hiburan di Ipoh Garden kira-kira 2.30 pagi, hari yang sama, kerana dituduh ‘mencari pasal’ dengan wanita yang membuat laporan pertama.

“Wanita itu turut mendapat kecederaan di kepala, badan, leher dan kaki. Kita telah menyiasat kedua-dua laporan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, Chang Keong menegaskan kejadian dalam gambar dan video yang tular di laman sosial itu bukan kes yang sama dan menasihatkan orang ramai agar berhenti membuat perkongsian mengenai kejadian tersebut. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.