MCA: Pembangkang Patut Minta Maaf

Tokoh pembangkang yang meragui kredibiliti polis berhubung pembatalan Festival Better Beer baru-baru ini wajar meminta maaf selepas suspek yang mendalangi rancangan mengebom majlis itu sudah ditangkap, kata seorang pemimpin MCA.

Menurut ketua publisiti parti itu Chai Kim Sen polis sudah memberikan bukti dengan penangkapan suspek baru-baru ini dan pihak berkuasa ternyata mengambil langkah yang tepat apabila menasihati supaya majlis berkenaan dibatalkan.

“Ia dibuat demi melindungi nyawa dan harta benda bagi memastikan keamanan serta ketenteraman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chai juga kesal apabila sesetengah anggota parti pembangkang meragui kredibiliti polis apabila mereka menasihati majlis berkenaan dibatalkan.

“Pemimpin pembangkang ini perlu meminta maaf kepada rakyat dan polis kerana mereka berpolitik semata-mata untuk politik dan bukan menjaga keamanan,” katanya.

Festival berkenaan sepatutnya diadakan di sebuah kompleks beli-belah terkenal di Kuala Lumpur pada 6 Okt lalu tetapi dibatalkan atas faktor keselamatan.

Menurut polis majlis itu disasarkan oleh militan yang merancang melakukan serangan ketika ia berlangsung.

Tiada kompromi soal keselamatan

Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan menahan tiga suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan.

Katanya seorang daripada mereka remaja berusia 19 tahun yang disyaki menjadi individu membuat bahan letupan dan mengujinya sebelum digunakan di lokasi sasaran.

“Antara tempat yang disasarkan adalah pesta arak dan beberapa pusat hiburan di sekitar Kuala Lumpur dan rumah ibadat bukan Islam di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.

Remaja terbabit sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 6 Nov ini.

Kata Chai polis wajar dipuji atas tindakan profesional dan ketangkasan mereka menahan suspek terbabit di Kelantan.

“Ia menunjukkan prestasi cemerlang polis menghadapi keganasan… Prestasi polis negara ini diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.

 

Dalam pada itu Chai berkata MCA akan terus melindungi hak-hak orang bukan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk hak untuk mengambil alkohol.

Bagaimanapun, katanya MCA tidak boleh berkompromi apabila ia membabitkan isu keselamatan.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.